Rafizi Ramli layak digelar raja penipu

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum mengenai tuduhan yang telah dilemparkan kepada Menteri KASA, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kelulusan projek oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

- Advertisement -

Selepas beberapa siri penipuan yang telah dilontarkan sebelum ini, Rafizi Ramli tidak serik untuk mengulangi skrip dan senario yang sama untuk meraih sokongan pengundi. Lebih jijik apabila dia menggunakan fasa kempen yang singkat untuk membunuh karakter berpengaruh daripada parti pihak lawan. Sejak tahun 2014, tiada satupun tuduhan-tuduhannya berjaya dikemukakan bukti ke mahkamah. Apa yang berlaku hanyalah beliau perlu meminta maaf, membayar pampasan ataupun menarik balik tuduhan.

Pada tahun 2015, PKR terpaksa memohon maaf berhubung naratif ‘Langkah Kajang’ yang direka oleh Rafizi Ramli. Pada tahun 2016, Rafizi Ramli telah gagal dalam kes fitnah dana awam National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan perlu membayar ganti rugi. Kemudian, dia didenda oleh mahkamah pula kerana fitnahnya pada isu ‘black-out’ ketika PRU-13 dan menganjurkan himpunan haram ketika itu. 

Tak cukup dengan itu, dia gagal pula dalam fitnah yang melibatkan Boustead Holdings Berhad sehingga dia terpaksa menarik balik tuduhan tersebut. Pada tahun 2017, Rafizi Ramli kalah pula dalam kes saman fitnah berhubung kes penyelewengan yang kononnya dilakukan oleh Datuk Seri Abdul Rahman dalam penganjuran Ekspo Negaraku pada tahun 2017 sehingga pihak Rafizi Ramli perlu membuat permohonan maaf rasmi dan membayar kos sebanyak RM20,000.00. Tidak terhenti setakat ini, masih ada kes-kes fitnah lain yang dibuat tidak dinyatakan di sini. 

Kini, beliau tidak serik untuk menambah koleksi fitnahnya dengan memfitnah Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula. Saya menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan yang dinyatakan di Facebook beliau hanyalah sebuah tuduhan yang langsung tidak berasas. Malah, isi-isi yang dinyatakan itu tidak dinyatakan sumber secara jelas dan tidak boleh dipercayai. 

Sekiranya benar apa yang didakwa oleh Rafizi Ramli itu, Pemuda PAS mendesak supaya hal tersebut terus dilaporkan kepada pihak SPRM dan tidak hanya menunjuk pandai di media sosial semata-mata. Tetapi, tindakan Rafizi Ramli ini tidak lain hanyalah sebagai modal berkempen di fasa pilihan raya ini. Sungguh layak si Rafizi Ramli ini digelar sebagai raja penipu.

Dalam masa yang sama, Pemuda PAS menyeru Menteri Kewangan dan Perdana Menteri daripada Barisan Nasional untuk memberikan penjelasan sebenar mengenai keadaan yang berlaku. Bukannya hanya mendiamkan diri dan menjadi raja bisu. Layaklah masing-masing digelar raja penipu dan raja bisu.

Akhir sekali, seruan saya kepada rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan ‘jargon-jargon’ ekonomi yang digunakan oleh Rafizi Ramli dalam setiap kata dan penulisannya. Maklumat-maklumat yang dikemukakan itu hanyalah berselindung di sebalik bahasa dan langsung tidak berfakta.

Jika kita inginkan Malaysia yang bersih dan stabil, Rafizi Ramli perlu ditolak dan dihalang daripada naik ke kerusi pentadbiran negara. Jika tidak, dia akan merosakkan Malaysia dengan menjadi raja penipu dalam Parlimen pula. 

HANAFI ZULKAPLI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/11/2022

- Advertisement -