Penerimaan kepada kita memang sangat baik – Dr Rosni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam tidak gentar walaupun dua pencabarnya merupakan nama besar dalam parti lain.

- Advertisement -

Beliau bahkan yakin mempunyai kelebihan dari segi faktor usianya yang lebih muda daripada tiga calon daripada parti lain dan merupakan satu-satunya calon wanita di Titiwangsa.

“Perasaan saya biasa-biasa sahaja, mungkin sebab ini bukan kali pertama bertanding, ini merupakan kali kedua, dan saya rasa semua orang mempunyai peluang yang sama.

“Yang paling penting adalah bagaimana kita mahu mendapat undi daripada pengundi-pengundi, insya-Allah saya akan berusaha bersungguh-sungguh.

“Ada banyak kelebihan juga di pihak saya, antaranya ialah saya satu-satunya calon wanita, dan saya calon paling muda, malah saya juga boleh menyambung legasi Dr Lo’ Lo’,” katanya ketika ditemui.

Menurut Dr Rosni, mood pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini juga berbeza dengan PRU lalu.

Katanya, walaupun sebelum ini beliau bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, namun penerimaan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL kali ini dapat dirasai mesikpun mereka terdiri daripada penyokong ataupun ahli parti lain.

“Penerimaan kepada kita memang sangat baiklah, rasa dialu-alukan dan saya rasa itu menunjukkan kita diterima di sini.

“Kemudian, saya lihat mereka berlapang dada untuk menerima sesiapa sahaja yang boleh memberi khidmat yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Beliau ingin memberi fokus kepada isu penempatan, miskin bandar dan isu pendidikan agama di sekitar Titiwangsa.

“Sebab di Titiwangsa ini tidak cukup ada sekolah agama aliran khas, kita ada sekolah agama, tetapi walau bagaimanapun aliran khas tidak cukup.

“Kemudian, isu-isu setempat, di samping kita berada di Wilayah Persekutuan, kita juga perlu lihat isu-isu nasional juga,” katanya.

Tambah beliau lagi, setelah berpeluang bertemu mata dengan penduduk sekitar, rata-ratanya berharap wakil rakyat mereka boleh berkhidmat dan menyuarakan rasa hati mereka di Parlimen.

Mengulas dari segi peluang pekerjaan pula kata Dr Rosni, kebanyakan mereka faham peluang pekerjaan adalah satu sistem kitaran hidup (sistem cycle).

Bagaimanapun katanya, beliau mengambil berat mengenai gaya hidup rakyat tempatan yang kini bekerja lebih daripada satu pekerjaan.

“Di Kuala Lumpur, memang menjadi tumpuan gig ekonomi, rider-rider dan pelbagai lagi, mereka kebanyakannya adalah orang yang membuat bukan satu pekerjaan.

“Tetapi fokus utama yang saya akan adress adalah dari aspek kebajikan dan kesejahteraan,” katanya.

Dr Rosni merupakan doktor pergigian dan mempunyai klinik gigi di bandar Kuala Lumpur, beliau merupakan graduan Universiti Malaya dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

Selain merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat PAS, beliau juga aktif dalam program kebajikan di bawa badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan.

Antaranya, Yayasan Amal Malaysia, Khidmat Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Persatuan Pergigian Malaysia, Persatuan Perubatan Pengubatan dan Kebajikan Islam Darussifa’ dan Pertubuhan Kami Prihatin Malaysia.

Beliau juga pernah menyertai persidangan antarabangsa dan misi kemanusiaan luar negara sempadan Syria, Vietnam, Mindanao dan Turki. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -