Parlimen Kota Bharu medan saingan 6 penjuru

Takiyudin dan pesaingnya untuk kerusi Parlimen Kota Bharu.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit apabila enam parti politik bersaing merebut kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

- Advertisement -

Lima calon mencabar Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan yang mempertahankan kerusi terbabit.

Calon berkenaan iaitu Naib Ketua Umno Kota Bharu Dato’ Rosmadi Ismail, Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim, Prof. Dato’ Dr Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kota Bharu Rosnazli Amin pada 11.35 pagi tadi, selepas mengumumkan semua kertas pencalonan diterima.

Takiyuddin ketika ditemui merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dan memberi kerjasama sehingga proses penamaan calon berjalan lancar.

Sementara itu di Pasir Puteh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), PERIKATAN NASIONAL (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.

Calon PN Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyerah borang pencalonan pada jam 9.04 pagi diikuti calon PH Muhammad Husain (9.13 pagi), calon Pejuang Kapten (B) Wan Marzuki Wan Omar (9.21 pagi) dan calon BN Dato’ Zawawi Othman (9.27 pagi).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pasir Puteh Ahmad Adlee Yasin mengumumkan semua calon layak bertanding pada jam 12 tengah hari.

Pada PRU14 penyandang Parlimen berkenaan Nik Muhammad Zawawi mengalahkan calon BN Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan kelebihan 1,360 undi.

Parlimen Pasir Puteh mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 113,063 orang. – HARAKAHDAILY 5/11/2022

- Advertisement -