Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk P.009 Alor Setar

- Advertisement -

KETIKA beliau baru habis pengajiannya, beliau telah bertugas di sebuah syarikat takaful terkenal cawangan Kangar. Sebaik sahaja ahli PAS Perlis mendapat tahu keberadaan beliau di sana, segera mereka berhubung bagi mendapatkan khidmatnya untuk menguatkan PAS Perlis. Kuliah-kuliah dihadiri beliau, mendapat sambutan kerana pastinya orang tertunggu-tunggu bagi melihat anak sulung Dato’ Ustaz Taib Azamudden, mantan Imam Besar Masjid Negara ini berpidato.

- Advertisement -

Petah butir katanya, mesra orangnya, cerdas pemikirannya, dipercayai orang, pandai menyusun kata, adalah ciri-ciri yang beliau miliki sepanjang saya mengenali beliau dan keluarganya yang pernah beberapa kali menjadi tetamu saya kerana ayahandanya kerap mengadakan kuliah berkala ketika di Perlis waktu itu. Perlahan-lahan anak muda ini mendaki tangga kerjayanya sebagai anak pasangan alim dan alimah yang juga Ahli Parlimen Baling ketika itu.

Kemudian beliau melebarkan pengalamannya dengan menguruskan stesen minyak di Kubang Semang. Mungkin bagi menumpukan sepenuhnya karier politiknya. Dengan peribadi yang mudah tersenyum, beliau telah mendapat rentaknya dalam politik dengan menjawat beberapa jawatan penting Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang sehingga menjadi ketuanya, kemudiannya di peringkat pusat sampai kepada Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Manakala pengalaman dalam kerajaan, pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah. Beliau banyak menjawab isu-isu semasa, membantu Kerajaan Kedah dari serangan bertali arus dari PH yang sedang gila kerana kehilangan Kedah, hasil daripada pengkhianatan sesama mereka. Isu-isu fitnah berkenaan pembalakan, kepala air, banjir kilat di Baling, kampung asal ayahanda beliau.

Beliau diberikan kepercayaan memegang amanah yang begitu besar dalam usia masih muda kerana keupayaan beliau menyerap semua tekanan dan bebanan tugasan yang diberikan kepada beliau. Ia tidak mudah kerana memerlukan pengalaman dan juga kebijaksanaan dalam berfikir mencari jalan keluar dari permasalahan, tetapi beliau berjaya melakukannya. 

Selain daripada Allah menganugerahkan kebijakan kepada beliau yang berjaya dalam pengajiannya sehingga ke peringkat ‘Master’, baka keturunan juga memainkan peranan melahirkan pemimpin yang berkualiti. Ayahanda beliau Dato’ Taib Azamudden mantan Imam Besar Masjid Negara yang sanggup meletakkan jawatannya apabila diminta PAS untuk sama-sama berjuang dalam menegakkan negara yang lebih baik. Pengorbanan itu tidak sia-sia apabila beliau memenangi kerusi Baling.

Adunan pengalaman dan kecerdikan Afnan sendiri, dicampur dengan didikan oleh ayahanda beliau, pastinya akan memberikan kualiti kepimpinan kepada rakyat Alor Setar jika beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen pada 19 November nanti. Selain rekod cemerlang dunia, pastinya sebagai calon PAS, Afnan tiada kes rasuah, kes jenayah, merokok yang pastinya semua ini diikat dengan agama, takutkan Allah.

Apa lagi yang rakyat Alor Setar mahukan dari seorang calon yang masih muda, berpendidikan tinggi, berpengalaman luas dalam politik, bekerja di samping Menteri Besar Kedah yang bermakna memahami kehendak rakyat Kedah, tahu selok belok pentadbiran negeri, serta pengalaman di Pulau Pinang sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri. Insya-Allah kualiti terbaik akan beliau berikan untuk dunia dan akhirat.

MOHD NASIR ABDULLAH
3 November 2022 – HARAKAHDAILY 3/11/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -