Pilih pemimpin dengan betul agar tidak kembali dijajah

- Advertisement -

ARAU: Pilihan raya bukan bermakna peluang untuk mendapat duit atau projek dan tawaran janji-janji bagi mengadakan sesuatu, tetapi masa untuk melaksanakan kewajiban memilih pemimpin yang akan memerintah negara.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, perkara tersebut di sisi Islam adalah sangat besar yang tidak boleh dipermainkan di mana di Padang Mahsyar kelak manusia akan dihimpunkan bersama pilihan mereka.

Perkara tersebut jelasnya sebagaimana ayat surah al-Isra’ di mana pemilihan pemimpin di dunia termasuk suratan amal yang menjadi perhitungan dan balasan di Hari Kiamat kelak.

“Masalahnya kita orang Islam lupa ajaran kita sendiri, kita ditipu (kononnya) politik tak ada dalam agama, politik kotor, politik tak ada dalam Islam. Supaya kita serahkan politik kepada mereka. Jangan campur bila mereka yang politik, mereka yang pilih pemimpin. 

“Habis kita, mereka berkuasa (lalu) menjajah kita. Ini sangat bahaya,” ujar beliau dalam Jelajah Presiden PAS di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL (PN) Arau, Utan Kandis, Guar Sanji, di sini semalam.

Beliau mengupas situasi selepas kemerdekaan negara 1957 di mana penjajah masih juga campur tangan dalam penentuan dasar ketika Perlembagaan Persekutuan dirangka, selain memaksakan penerimaan beberapa syarat lain seperti Jus Soli.

Bahkan menurutnya, draf asal oleh Suruhanjaya Reid juga tidak meletakkan Islam di dalam Perlembagaan hinggalah PAS menerusi Ahli Parlimen Kerian Larut, Tuan Guru Ahmad Hussein bersama pemimpin Umno dan Raja-raja Melayu bertegas sebaliknya.

Sedangkan kupas Tuan Guru, penjajah asalnya tidak mengenali demokrasi di mana pemilihan pemimpin oleh bangsa Eropah dicatatkan dengan sejarah siri-siri kezaliman, peperangan dan revolusi yang menumpahkan darah.

Katanya, hinggalah orang Eropah membaca kitab-kitab ulamak Islam dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains, teknologi, perubatan, angkasa lepas, pertanian, ilmu ekonomi, termasuk politik lalu memodenkan demokrasi menerusi pilihan raya.

Beliau menjentik perhatian hadirin dengan membawa situasi serupa terjadi apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 di mana melaksanakan banyak tindakan membahayakan Islam dan Raja-raja Melayu.

“Kalau mengundi dalam Parlimen mesti akan berlakulah perkara ini. Saya fikir seorang-seorang macam mana nak buat. Saya bangun berucap di Parlimen secara spontan. Saya kata, demokrasi bukan sahaja mengundi di Parlimen.

“Demokrasi termasuk turun di jalan raya. Kami akan kerah berjuta di jalan raya untuk membantah ICERD dan Statut Rom. Saya tak sangka orang Umno takbir. Orang PAS takbir, sama-sama takbir. Saya masih ingat lagi.

“Kita menghadapi satu kemungkaran yang sangat bahaya. Dalam PRU 14, apabila menangnya Pakatan Harapan, mereka nak rombak asas-asas dalam perlembagaan,” ujarnya mengimbau sejarah Himpunan Membantah ICERD itu. – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -