Perubahan dibawa PAS berasas realiti rakyat pelbagai kaum

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berpandangan realiti perubahan yang dibawa oleh parti itu boleh dilaksanakan.

Katanya, ia memerlukan kepada pemimpin-pemimpin yang terbuka, memahami realiti negara di mana golongan bumiputera merupakan kaum dominan.

“Walaupun di sana kita ada kaum bukan bumiputera yang perlu dihormati juga hak mereka dan sepanjang selepas kemerdekaan rakan-rakan minoriti kita tidak pernah dizalimi.

“Ia menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik, aman dan tenteram dan diakui seluruh dunia, kerana apa?.. kerana kita berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, ini asasnya.

“Jadi saya mengharapkan pemimpin politik yang akan dipilih nanti mesti mempunyai pemikiran yang sama, sekiranya kita boleh duduk berbincang  mencari titik pertemuan sekiranya mampu, pada saya duduk semeja itu merupakan satu kejayaan awal,” katanya pada temubual Agenda Awani bertajuk ‘Calon PRU15 Tahu Apa Rakyat Mahu?’, malam tadi.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan berhubung apakah PAS memahami apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, apa yang dislogankan  perlu berasaskan realiti politik dan suasana rakyat pelbagai kaum.

Menurut Khairil, asas perubahan kepada sesuatu dasar mesti berdasarkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

“Kita nak tukar apa pun ia mesti ada prosedur yang tertentu, prosedur itu melibatkan jawatankuasa teknikal, perubahan dasar polisi, sebab itu pada saya perubahan boleh dilaksanakan tetapi ia memakan masa.

“Kita lihat macam contoh apakah PAS semakin luntur di dalam memperjuangkan perkara-perkara yang berkait dengannya sekian lama? Tidak.

“Apa yang kita laksanakan di Kedah kita tidak lagi memperbaharui lesen-lesen yang tidak sepatutnya begitu juga dengan RUU355 telah banyak kali dibentangkan oleh menteri dan timbalan menteri agama dan telah sampai tahap yang kita bentang di parlimen namun tidak cukup masa kerana berlaku pembubaran parlimen lebih awal.

“Sedangkan kita ada masa lagi sampai bulan tujuh bulan tahun hadapan untuk kita meneruskan fasa PRU ke-14 ini,“ katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2022

- Advertisement -