Bagaimana PKR mengelirukan rakyat

- Advertisement -

TERTERA satu iklan berkenaan pencarian calon PRU15 bagi Parti KeAdilan Rakyat (PKR). Dalam syarat yang dinyatakan itu, calon-calon yang berminat untuk memakai bendera PKR mestilah antaranya bersih dari rasuah, dadah dan juga berbagai perkara lain yang menyalahi undang-undang negara. Cuma yang tidak dinyatakan, calon bukan seorang penipu. Jika ini dimasukkan dalam syarat, pastinya tiada calon dari PKR yang layak kerana sejarah telah menjelaskan semuanya.

Sekali pandang, ia seperti iklan yang sangat dekat dengan rakyat, mencari wakil kononnya yang berjiwa rakyat. Dua kali pandang ia kelihatan seperti PKR ketandusan calon yang berkaliber untuk menang. Maka terpaksa mengiklankannya kepada orang luar. Apapun yang anda fikirkan, jangan sesekali lupa untuk memasukkan unsur mengelirukan dalam iklan mencari calon PKR ini. Alah, macam ‘scammers’ mencari downline MLM.

Boleh dianggap mustahil jika dikatakan PKR ketandusan ahli untuk menjadi calon yang sesuai kerana menurut Setiausaha Agung PKR dahulu, permohonan ahli PKR adalah dalam jumlah hampir 80,000 dua bulan. Tetapi sehingga kini, Umno diisytiharkan parti yang mempunyai ahli teramai, walaupun dari kalangan Bumiputera sahaja. PAS pula mempunyai ahli seramai satu juta orang, dan dari kalangan orang Islam sahaja. Manakala ahli PKR diterima dari semua bangsa dan agama.

Yang aku perhatikan mungkin helah mereka ini adalah dalam bentuk kononnya turun ke bawah mencari calon. Sedangkan mereka sudah ada calonnya. Lalu calon yang kononnya mereka tidak kenal itu, yang datang dari marhaen itu sebenarnya telah dipilih awal lagi. Diangkatlah calon itu sebagai wakil marhaen. Dan rakyat yang baru mengundi, terbeliak mata, percaya, melihat peluang sebagai calon dibuka seluas-luasnya kepada semua. Kena jadi ahli PKR, peluang terbuka jadi wakil rakyat. Undi akan diberikan kepada PKR. Walhal calon itu memang kenalan PKR.

Hanya orang yang kurang cerdik berpolitik akan mempercayai taktik ini, yang kelihatannya seperti turun ke akar umbi. Sedangkan kita tahu, di antara pimpinan mereka itu, bukan sahaja ketika pemilihan mahu menjadi calon PRU, malah menjadi calon kepada AJK ranting, cabang dan juga pusat, sehingga bertumbuk, melempar kerusi sesama mereka. Undi dikira berkali-kali, pemenang pula bertukar ganti pada setiap kiraan semula, yang sebelum itu dalam PRU, mereka pertikaikan SPR.

Sewaktu mereka menang tahun 2008 di Selangor, calon PKR di Pelabuhan Klang, Badrulhisham Abdullah keluar parti setelah menang kerusi itu dan menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai Umno. N. Gobalakrishnan bekas Ahli Parlimen Padang Serai kembali kepada MIC. Adun Bukit Selambau V. Arumugam hilang kepercayaan terhadap Anwar.

ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full juga keluar parti. Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Hashim dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohamad Fairuz Khairuddin, juga melepaskan jawatannya. Jangan lupa calon kes pil kuda di Bukit Besi, yang menyaksikan kes saman yang dikemukan terhadap Presiden PAS, yang akhirnya mahkamah memutuskan plaintif kalah dan membayar kos.

Banyak lagi senarai nama-nama calon PKR yang melompat, hilang keyakinan, terkejut dengan pimpinan parti mereka, ketika itu. Semenjak dahulu lagi, pimpinan utama PKR seperti Chandra Muzaffar, Dr Sidek Baba, Datuk S. Nallakaruppan, Datuk Marina Yusof dan ramai lagi mufaraqah dengan PKR. Apa lagi isyarat yang kita mahukan bagi menunjukkan teruknya kepimpinan PKR ini. Lalu mereka tiba-tiba mengeluarkan iklan bagi mencari calon yang berwibawa dan ‘winable’? Yang mereka kenal lama dahulupun kena kencing, apalagi yang baru kenal.

Logikkah, pilih orang luar, ketepikan orang sendiri, sedangkan perjalanan tangga politik adalah melalui akar umbi, dikenali, disenangi, disayangi, dipercayai. Nampaknya PKR sanggup menggadaikan nasib pengundi mereka ke tangan orang yang bukan dari partinya, tidak dikenali mungkin. Lalu apa peranan pimpinan PKR yang ada sekarang yang mereka puji sebagai wakil rakyat yang terbaik itu? Semudah itukah mereka ditukar? Dan sekarang Rafizi mahu membuat akujanji tidak melompat parti seperti PAS laksanakan baiah yang mereka keji dahulu.

Pelik? Jangan pelik, kerana ‘scammers’ akan menggunakan cara yang dianggap paling baik, bagus dan mulia pada penglihatan mata orang biasa. Lalu mereka menjual produk palsu mereka dengan berbagai kempen menipu. Siapa yang membelinya, akan terkena. Jadilah pengundi yang bijak dengan menjauhi PH. Sebab nanti, kena tipu lagi dengan macam-macam manifesto.

Cuba lihat syarat akhir, tidak berhutang dengan parti. Calon dia yang kalah PRU dulu yang guna duit PAS, dah bayar hutang ke belum woii?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 7/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -