Polemik bubar Parlimen: Siapa bersama rakyat?

- Advertisement -

BEBERAPA hari selepas Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi kenyataan media mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini juga, maka Allah telah takdirkan banjir berlaku banjir dalam Parlimen beliau iaitu Pontian. 

MKT Umno yang luar biasa

Entah apalah perasaan 19 orang daripada empat keluarga melibatkan penduduk dari Kampung Parit Haji Mohamad Sanglang yang telah dipindahkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom dalam Parlimen Pontian. 

Walau apa sahaja kehendak MKT Umno, kejadian banjir di Pontian sejak kelmarin patut menjadi iktibar besar buat Setiausaha Agung Umno yang juga merupakan ahli MKT. Rakan-rakan beliau ahli MKT Umno juga celik mata atas peringatan besar ini daripada Tuhan. 

Kejadian banjir di Johor kini bukan hanya melibatkan kawasan Pontian, di Kampung Sungai Linau, Kluang juga telah mengalami banjir. Terbaru dilaporkan banjir di Kampung Chepor Dalam, Ipoh, Perak.

Kejadian banjir sejak akhir-akhir ini di era perubahan iklim memang luar biasa. Tetapi lebih luar biasa apabila MKT Umno melobi supaya pilihan raya dibuat dalam musim tengkujuh ini.

Agong yang prihatin

Media sejak kelmarin melaporkan pertemuan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, jam 4 petang semalam.

Namun pada sebelah pagi Baginda telah terlebih dahulu berangkat ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Ampang.

Ketibaan KYDMM Seri Paduka Tuanku disambut oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air,  YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan dan YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali Ketua Setiausaha Negara.

Lawatan ini bertujuan bagi melihat kesiapsiagaan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023.

Sembah taklimat daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berkaitan cuaca dan banjir serta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan Kesiapsiagaan KKM menghadapi banjir telah disampaikan Baginda KDYMM Tuanku.

Menurut Menteri KASA, Baginda KDYMM Tuanku telah menitahkan kepada sekalian warga KASA akan berusaha sebaiknya bagi memastikan kesiapsiagaan kerajaan menghadapi banjir terutama yang berkait dengan sistem amaran, penyampaian maklumat, persediaan aset dan langkah-langkah strategik menebat banjir.

Dirgahayu Tuanku, atas keprihatinan mencemar duli mengambil berat atas perkara yang kerisauan rakyat jelata.

Lawatan rasmi KDYMM Tuanku dan titahnya sebenarnya memberi mesej secara tidak langsung kepada rakyat bahawa sebesar manapun kuasa mendesak yang ada pada mana-mana pihak, Baginda KDYMM Tuanku masih ada kuasa besar untuk menjadi pemutus akhir dalam menjaga kemaslahatan negara dan rakyat. 

Sehebat manapun , MKT Umno merancang sesuatu membuatkan rakyat resah. KDYMM Tuanku tetap sentiasa memerhatikan dan memahami kebimbangan rakyatnya.

Siapa pemimpin bersama rakyat?

Page Facebook ‘Istana Negara’ dihujani komen-komen warganet dalam kalangan rakyat yang memohon KDYMM Tuanku untuk tidak memperkenankan pembubaran Parlimen ketika ini. 
Pertemuan KDYMM Tuanku dengan YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah simbolik penting membawa kepada titah penting Baginda untuk mengutamakan persiapan menghadapi banjir. 

Kenyataan YAB Perdana Menteri semalam bahawa hal pembubaran hanya dibincang jika sempat menampakkan YAB Perdana Menteri tidak lagi gagah untuk menuruti keputusan luar biasa MKT Umno yang sangat tidak popular dan beralaskan alasan tak masuk akal yang menambah kebencian rakyat. 

Namun pada hari ini dan seterusnya apa sahaja boleh berlaku. Para pemain politik yang tak mempedulikan kesusahan rakyat akan terus mengatur strategi agar Parlimen dibubar. 

Antara Tuhan dan propagandis upahan

Tindakan 12 Menteri PN menghantar surat kepada KDYMM Tuanku tidak menyokong pembubaran ketika musim banjir demi rakyat mula diserang oleh propagandis politik tak bertanggungjawab kononnya tak memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Apakah propagandis tersebut adalah kelompok-kelompok derhaka yang tidak memahami keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap rakyat yang berisiko dilanda banjir?

Apakah propagandis upahan ini begitu tak berguna sehingga membuta-tuli mengikut apa saja skrip politik tuannya? 

Mereka terus merancang demi nafsu politik, Raja berjiwa rakyat tetap akan menggunakan kebijaksanaan untuk menangani permainan pemain-pemain politik yang rakus. Namun, di atas sana, ada Tuhan yang Maha Agung menjadi pemutus segala perancangan dan mengadili segala baik buruk di sana kelak. 

Semoga Allah selamatkan kita menghadapi bencana yang ditimpa akibat daripada segala kejahatan manusia. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
7 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -