Warkah terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong

- Advertisement -

KEPADA:

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah D.K.P., D.K.M., D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., D.K.(Terengganu)., D.K.(Johor)., S.P.M.J., D.K.M.B.(Brunei).,D.K.(Kedah).,D.K.(Perlis).,D.K(Perak).,D.K(Selangor).

Dan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar al-Haj D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., D.K.(Johor), S.P.M.J., P.K.C, P.K.T., P.J.K., D.K.(Brunei).

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

MERAYU DITANGGUHKAN PEMBUBARAN PARLIMEN DAN MEMBERI FOKUS KEMUNGKINAN BENCANA BANJIR

Didoakan ke hadrat Allah SWT Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang agar Kebawah Duli Tuanku berdua dan Anak-anakanda serta seluruh Kerabat dikurniakan ‘afiyah, taufik serta hidayah, perlindungan dan pemeliharaan, ri’ayah serta ‘inayah-Nya dengan mengikuti jalan diwarisi Rasulullah SAW.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun;

Dunia yang kita diizinkan-Nya menumpang sementara ini masih lagi diselubungi penderitaan, ketakutan dan tangisan lantaran pandemik COVID-19 sejak hampir tiga tahun lalu. Di hampir semua bahagian muka bumi ini kita warganya masih menghadapi musuh itu dengan pelbagai usaha mengekang.

Sungguhpun semakin berkurang, namun kewujudan dan bermutasinya masih tetap perlu diwaspadai dan diperangi. Ia telah meragut nyawa sebahagian besar daripada kita, menyebabkan kehilangan dan kesedihan bagi keluarga yang ditinggalkan.

Belumpun ia memulih sepenuhnya, bumi yang tua ini di belahan sempadan-sempadan lain telah dilanda perubahan iklim dan cuaca ekstrem. Juga menyebabkan penyakit, kematian, kehilangan, kemusnahan dan kerosakan yang tidak sedikit.

Tidak terhenti oleh bencana sebahagiannya berpunca oleh tangan-tangan manusia itu, kita turut menyaksikan kerakusan dan sengketa berterusan dari peperangan terjadi. Bedilan senjata antara Rusia dan Ukraine masih tidak terhenti, namun sumbu-sumbu api terus marak menjulang terbakar lagi.

Peperangan yang berpotensi memicu semakin meluas apabila beberapa negara sedang saling menggugat ancam dengan meninggikan ego dan kuasa masing-masing. Natijahnya menghentamkan kesengsaraan kepada rakyat yang ramai dengan malang bertimpa-timpa.

Sedar atau lalai, kita sedang melalui dan menanggung akibat daripada semua itu bukan sahaja pada kemelesetan wang dan ekonomi serta kekurangan makanan. Tetapi juga terhadap jaminan keselamatan dan nyawa, serta rutin kehidupan seharian.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun;

Malaysia negara tanah tumpah bakti dan cinta kita ini juga tidak terpisah dari segenap kesan dan ujian tersebut. Namun, patik dan hamba rakyat jelata cukup bersyukur betapa segala itu dihadapi bersama di bawah payung dan naungan yang Allah SWT kurniakan buat Tuanku.

Kestabilan pemerintahan dan kelangsungan kerajaan ketika ini telah membantu rakyat keluar dari kemelut dan polemik yang mencengkam untuk sekian waktu. Kekuasaan Tuanku dan keprihatinan kerajaan telah menyuntik pertiwi ini bangkit kembali untuk menang bersama.

Barisan hadapan yang komited dan penuh pengorbanan bersama sekalian warga sedia mendukung, kita akhirnya menempa pemulihan dengan cepat. Ketika penduduk bumi ini masih dihambat oleh pelbagai masalah, kita di negara ini semakin hampir kembalikan kehidupan normal.

Saat dunia menguncup dalam banyak sektor, negara dan rakyat Tuanku sedang mengembang serta meninggikan puncak pencapaian dalam pelbagai bidang diceburi. Kebersamaan atas nama Keluarga Malaysia kini meyakinkan kita untuk terus melangkah ke masa depan.

Negara kita bukan sahaja kekal merdeka dan berdaulat, bahkan terus memacu pembangunan dan kemajuan dengan lebih berdaya tanpa terheret dalam konflik sengketa dunia yang menjerumuskan. Tentu kita mendamba untuk keadaan ini dapat dipertahankan selama-lamanya.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun;

Realitinya, kehidupan kita selaku hamba Allah Azza wa Jalla tidak pernah sunyi dari ujian dan sunnah ketentuan ditetapkan-Nya terhadap tabiat makhluk dan alam semesta ini. Ia putaran silih berganti yang juga menjadi ukuran pengabdian dan amalan semasa hayat di dunia untuk kelayakan di negeri abadi.

Keinginan manusia tidak pernah puas biarpun terbatas. Jawatan dan kedudukan untuk mengungguli kuasa antara yang terus menjadi pertembungan sejak Qabil dan Habil. Ada ketika akan diangkat pemimpin beriman dan berbudiman, ada masa lain terangkat penindas yang menzalimi.

Pentadbiran negara yang sebelum ini tenang dan tenteram di sebalik kocakan dalam cawan sekali-sekala, beberapa hari mutakhir ini sedang berdentum kuat dek panahan desakan untuk Parlimen dibubarkan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15. Walhal, tempoh masa matangnya itu masih berbaki untuk beberapa purnama lagi.

Namun, hambatan politikus lebih bergelora dari gelombang angin dan curahan hujan dari monsun serta peralihannya yang bakal membadai tidak lama lagi. Ketika itu seluruh negara ini dan sekalian penghuninya mahu tidak mahu mesti menghadapi banjir di banyak lokasi untuk satu waktu.

Ketika ini di mana hebahan maklumat termasuk perdebatan mengenai kedatangan musim tengkujuh sedang memanas dalam kalangan warga, sudahpun dilapor terdapat kawasan telah dilanda banjir. Lazimnya, ketika ada mangsa, seluruh agensi atau jentera kerajaan turut mengerah keupayaan membantu.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun;

Rakyat jelata malah menjadi saksi, melihat Tuanku berdua bersama Anak-anakanda sering mencemar duli turun ke lapangan di lokasi-lokasi banjir menyantuni mangsa. Keprihatinan Kebawah Duli Tuanku berdua dan Kerabat Diraja sanggup mengharungi redah banjir demi mendekati rakyat jelata, cukup mengesankan di hati.

Pasti Tuanku begitu menyelami denyut rasa rakyat jelata yang demikian, sama ada terpisah sementara dengan ahli keluarga dan harta benda serta pelbagai urusan sedia ada, mahupun menghadapi sebuah kehilangan atau kemusnahan.

Ratapan jiwa lebih meruntun buat golongan petani dan nelayan yang tidak dapat ke kebun, ladang dan laut bagi menuai dan menoreh serta menjala hasil rezeki. Kepayahan mereka hakikatnya menghilir sama kepada rantaian panjang lain yang terbabit.

Perbekalan keperluan yang berkurang di pasaran, menimbulkan pula kenaikan harga dan masalah sekitarnya. Lingkaran ini cukup membelit di kala semua pihak sedang menghadapi saat kesukaran sedemikian. Ia situasi mesti ditempuhi di mana sewajarnya sebagai satu keluarga, semua pihak merasainya bersama.

Oleh itu, dengan musim tengkujuh dan banjir sedang mula melanda, serta dipengaruhi perubahan iklim dan cuaca yang bermungkinan lebih ekstrem dijangka kali ini, hasrat pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 wajar ditangguhkan.

Rata-rata hamba rakyat kebanyakan tentunya bimbang dan resah untuk menghadapi ketidaktentuan alam yang pasti menjelma. Sedangkan proses demokrasi itu adalah pilihan dalam detik terdekat ini dan memiliki ketentuan yang masih ada waktu di hadapan sebelum ketetapan sebenar itu tiba.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun;

Sesungguhnya besar harapan rakyat jelata untuk negara bersedia dan mengutamakan urusan terlebih penting iaitulah bersiaga dan bersolidariti menghadapi risiko-risiko sedia dimaklumi. Berbanding perancangan atau tadbir urus yang dapat diaturkan kemudian.

Namun, menjejak dan membumikannya tidaklah dapat hanya dengan keluhan luahan rakyat jelata. Tetapi dengan wewenangan kuasa diperuntukkan di pundak Kebawah Duli Tuanku dapat memutuskan pertimbangan terbaik untuk negara dan rakyat menghadapinya.

Maka, kami hamba rakyat merayu Tuanku supaya permohonan segelintir atau sekelompok politikus untuk pembubaran Parlimen pada masa terdekat ini tidak diperkenankan yakni ditangguhkan dahulu demi kepentingan rakyat jelata kebanyakan.

Moga-moga ujian alam bakal kami hamba rakyat tempuhi, menghadirkan keyakinan dan ketenangan untuk mengangkat pemimpin yang sepatutnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 itu nanti.

Ampun Tuanku! Menjunjung kasih Tuanku! Daulat Tuanku!

Hamba rakyat yang taat setia,

IZWAN ABDUL HALIM 
Kedah Darul Aman 
5 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -