Pakistan kehabisan wang

Seorang mangsa banjir membawa sebotol air yang diambil dari kawasan yang dibanjiri air di sebuah kem perlindungan di Sehwan, Pakistan pada 30 Sept 2022. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

Susunan: NORHANA MAT ZIN

- Advertisement -

ISLAMABAD: Bencana banjir teruk yang melanda Pakistan baru-baru ini menyebabkan negara itu kini telah kehabisan wang untuk digunakan bagi pemulihan semula termasuk kediaman, kemudahan fasiliti dan sebagainya.

Menteri perubahan iklim negara itu, Sherry Rehman memberitahu pada persidangan di Geneva pada Selasa (4 Oktober) waktu tempatanm bahawa lebih tujuh juta rakyat Pakistan telah hilang tempat tinggal.

Beliau seterusnya menyeru negara-negara maju mempercepatkan pembiayaian dana bantuan bagi bencana terburuk dalam sejarah Pakistan itu.

Rehman turut berkata, Pakistan sangat memerlukan bekalan ubat untuk 8.2 juta penduduk terbabit dan perlu mengimport bekalan makanan tambahan kerana tanaman eksport negara itu telah dihanyutkan.

Banjir yang melanda Pakistan itu telah memberi kesan kepada 33 juta orang daripada 220 juta penduduk, dan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan kerajaan berjumlah AS$30 bilion apabila tanaman, jalan raya, ternakan, jambatan, rumah, sekolah dan kemudahan perubatan dihanyutkan.

Kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyalahkan perubahan iklim sebagai punca bencana itu.

Penyelaras Residen PBB dan Penyelaras Kemanusiaan di Pakistan, Julien Harneis, berkata bahawa sasaran AS$816 juta untuk rayuan itu sama sekali tidak mencukupi.

“Kami memerlukan semua dana ini dan kami memerlukannya dengan cepat,” katanya sambil menambah bahawa hanya AS$90 juta daripada AS$160 juta rayuan PBB sebelum ini telah diterima.

Susulan akibat bencana alam itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah melipatgandakan rayuan bantuan kemanusiaan untuk Pakistan daripada AS$160 juta kepada AS$816 juta. 

Hal ini disebabkan oleh lonjakan kes penyakit bawaan air dan kebuluran dalam kalangan mangsa-mangsa banjir selepas beberapa minggu Pakistan dilanda banjit teruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini dikaitkan dengan perubahan iklim itu. 

Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Pakistan, Ayaz Sadiq memberitahu bahawa negaranya itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih, terutama bagi menyediakan semula kediaman baharu bagi jutaan mangsa banjir berkenaan.   

“Banjir itu disebabkan oleh hujan monsun luar biasa dan pencairan glasier yang turut menenggelamkan sebahagian besar negara- negara di Asia Selatan itu.  

“Banjir itu juga turut mengorbankan hampir 1,700 orang – majoritinya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

“Ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal dan kini mereka mendiami di kawasan terbuka. 

“Mereka turut terdedah kepada penyakit seperti malaria, cirit-birit, demam denggi, jangkitan kulit dan penyakit mata yang teruk kesan daripada jangkitan kuman bawaan air banjir yang masih belum surut sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 05/10/2022

- Advertisement -