Anak pemimpin mesti jaga imej keluarganya

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 52)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

Apabila Saidina Umar al-Khattab ingin melaksanakan satu hukuman atau melarang sesuatu, dia memulakan dengan keluarganya dahulu. Umar berkata kepada mereka:

إن الناس ينظرون إليكم نظرة الطائر للحم فإن سمعت أن أحدكم فعله ضاعفت له العقوبة
‘Sesungguhnya orangramai melihat kamu seperti burung helang melihat daging. Jika aku dengar bahawa salah seorang kamu melakukannya (iaitu satu kesalahan), nescaya aku gandakan balasan untuknya.’

Dari awal tulisan mengenai Umar al-Khattab, kita melihat ketegasan Umar terhadap keadilan tidak pernah luntur.

Prinsip penting dalam Islam ini tidak pernah digadai hanya kerana ia melibatkan kaum keluarganya sendiri. Bahkan, sebaliknya, jika ada hukuman atau sesuatu peraturan, beliau akan memulakan dengan keluarganya dahulu.

Perumpamaan yang disebut oleh Umar sangat bermakna. Burung helang terbang tinggi. Meninjau-ninjau dari angkasa mencari mangsa di bumi.

Mata helang eagles eye sangat tajam. Orang lain tidak nampak tapi dia nampak. Bila nampak daging atau mangsa, akan terus diterkam dengan kuku kaki yang tajam, sayap yang lebar, dan kemudian dilapah dengan paruh bengkok yang kuat.

Seorang manusia, apatah lagi jika dia itu somebody dalam masyarakat- pemimpin politik, pemimpin dan tokoh dalam masyarakat, akan sentiasa diperhati oleh orang ramai sekelilingnya.

Dalam dunia tanpa sempadan kini, diperhati oleh semua orang, sekalipun dari ‘angkasa’. Justeru, dia perlu menjaga banyak perkara, termasuk imej dan kedudukannya agar tidak tercalar dan dicalar oleh keluarga sendiri.

Orang dahulu, apabila melihat seorang anak muda, mereka bertanya: ‘Awak ni anak siapa?’

Soalan yang membawa erti bahawa bawaan anak itu juga akan dikaitkan dengan bapanya. Kalau elok anak itu, elok juga nama bapanya. Kalau buruk, terpalit juga nama bapanya.

Namun, iman tidak dapat diwarisi. Bapa tidak selamanya dapat menjaga kelakuan anaknya. Begitu juga sebaliknya.

Nabi Ibrahim dengan bapa. Nabi Ibrahim dengan anak. Asiah dengan Firaun. Nabi Lut dengan isteri, dan kisah ramai orang yang tidak dapat mewarisi sifat kebaikan dari orang yang dekat dengannya.

Ucapan Umar al-Khattab menjadi pengajaran agar pemimpin berusaha mendidik anak, isteri, keluarganya menjadi baik dan menjaga imej. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Jika mahu dilaksanakan satu peraturan dan hukuman, mulakanlah dengan keluarga sendiri. Ini tidak, jika ada projek, keluarga yang didahulukan. Jika ada keuntungan, keluarga yang dimulakan. Jika ada kesalahan dari anak, tetap dipertahankan. Jauhnya kita dari menurut jejak Umar al-Khattab.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -