Pengalaman politik Presiden PAS, bezakan beliau dengan yang lain

PERJUMPAAN antara Presiden PAS dan Presiden Umno, berlaku di sebuah restoran, seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno. Umno, menggariskan tiga syarat utama bagi pertautan kembali Muafakat Nasional. Kemudian, Presiden PAS bertemu pula dengan Presiden BERSATU, TS Muhyiddin Yassin. TS Muhyiddin dikhabarkan tidak meletakkan apa-apa syarat.

Di kala hubungan dengan PN semakin erat, berbagai himpunan dibuat bersama bagi menunjukkan kekuatan perikatan politik itu, kini semua mata melirik kepada tindakan PAS yang dilihat boleh menjejaskan hubungan dengan BERSATU. Apatah lagi setelah TS Muhyiddin Yassin mengisytiharkan BN adalah musuh utama PN.

Mursyidul Am PAS segera membetulkan kenyataan TS Muhyiddin bahawa PAS tidak akan menjadikan sesama Islam menjadi musuh. Bermakna secara jelasnya, PAS, istiqamah berpegang dengan pendirian yang sudah sekian lama mereka tegaskan bahawa Perkukuhan MN, Pertahankan PN. PAS bertekad mahukan dua parti Melayu Islam ini menjadi gabungannya.

Sifirnya amat jelas dan mudah, jika tiga parti ini bergabung, maka kemenangan akan menjadi hak milik orang Melayu Islam, tuan empunya tanah tumpah darah ini. Dua contoh yang sangat signifikan untuk disebut bagi membuktikan kenyataan ini benar. Satu, kemenangan PH pada PRU-14, hasil daripada pecahnya undi kerana Umno dan PAS bertembung di kerusi yang sama.

Kedua, kemenangan Umno di tujuh PRK, dengan bantuan PAS yang tidak masuk bertanding. Fakta kedua ini juga menunjukkan bahawa PAS tidak gilakan jawatan. Semua kerusi itu adalah kerusi Umno. PAS tidak langsung berfikir apa lagi meminta untuk Umno membuka laluan bagi PAS bertanding. PAS hanya membantu. Kemudian, dari mulut Perdana Menteri sendiri mengesahkan yang PAS adalah rakan yang baik dalam kerajaan, tidak menyusahkan dengan meminta jawatan itu dan ini.

Umno silap besar jika diambil kemenangan di Melaka dan Johor sebagai tanda aras, kerana undi teras dan peratusan mengundi jatuh. Bermakna pengundi atas pagar, masih belum menyatakan pendirian mereka. Ditambah lagi dengan perbalahan bagi jawatan Ketua Menteri di Melaka dan lawak pengundi di Johor, ‘orderlain, sampai lain’ merujuk kepada Menteri Besar Johor. Atas kertas, memang Umno menang, tetapi di mata dan fikiran pengundi atas pagar, adakah Umno sudah berubah? Jika rakyat berfikir sebaliknya, pangkahan mereka pada PRU-15, mungkin membunuh Umno.

Semua ini sudah difikirkan oleh Presiden PAS yang penuh pengalaman politik itu. Jelas dan konsisten semenjak dahulu, beliau menegaskan keperluan untuk ketiga-tiga jemaah Melayu Islam ini bersatu. Beliau tahu, hanya ini sahaja jalannya buat masa ini, bagi menyelamatkan Malaysia dari dirampas semula oleh PH yang dibenci oleh rakyat. Rakyat kesal, melihat sendiri selama 22 bulan cara PH memerintah. Dan penyatuan ini memberikan rakyat pilihan terbaik.

Dengan keyakinan yang tinggi inilah, Presiden PAS tidak menyerang Umno dan BERSATU. Beliau melancarkan serangannya kepada PH sahaja. Dalam bulan September sahaja, beliau menulis pandangan dari fikirannya sebanyak tujuh artikel. Menyerang PH dan menerang berkenaan peri pentingnya Islam dijaga. Dan untuk tujuan itu, Melayu Islam mesti bersatu.

Lalu beliau diserang dengan rakusnya oleh pimpinan dan soldadu-soldadu PH. Dengan fakta yang menipu, fitnah, berbohong, semua ramuan najis, racun dan dosa itu, PH masukkan dalam campuran penerangan mereka, dihidangkan kepada ahli mereka yang tidak mengetahui hal sebenar, asalkan puas hati mereka menyerang Presiden PAS. Tetapi itu semua, bagi Presiden PAS, hanyalah bagaikan anjing yang menyalak. Perjalanan dakwah, tetap beliau teruskan.

Lihatlah semua ke masa hadapan. PAS, Umno dan BERSATU, mesti duduk semeja, membincangkan Penyatuan Ummah di bawah jemaah yang mereka pimpin. Tiada pilihan lain, Presiden PAS selalu menjadi pemangkin bagi menggerakkan usaha yang dicintai Allah dan Rasul ini. Beliau menghadam ayat al-Quran berkenaan berpegang teguh kepada tali Allah dan janganlah berpecah belah. Beliau ulamak yang bukan sahaja memahami, bahkan paling kuat mengamalkan al-Quran.

Ingatlah, kita dimuliakan Allah kerana mengambil Islam sebagai pegangan hidup kita.

Pastinya risau sungguh PH melihat semua penyatuan Melayu Islam ini. Ia adalah langkah pengakhiran bagi impian mereka. 

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement