Di sebalik tragedi malang Stadium Kanjuruhan

Kekecohan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia
- Advertisement -

Sikap penyokong yang taksub dan ganas telah lama menjadi sebahagian ciri bola sepak Indonesia dan membawa kepada rusuhan di Malang, Sabtu lalu yang mengorbankan 174 nyawa berikutan kekalahan Arema FC kepada Persebaya Surabaya.

Sukan paling popular dengan penonton hadir untuk menyaksikan pertembungan sengit antara seteru tempatan dalam liga 18 pasukan. Namun, permainan itu dicemari dengan kehadiran samseng dan ketidakcekapan pengurusan.

- Advertisement -

Indonesia yang mempunyai kira-kira 275 juta penduduk jarang dapat memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dan gagal melayakkan diri ke Piala Dunia sejak penampilan kali pertama pada 1938, ketika negara itu masih bergelar Hindia Timur Belanda.

Dihimpit isu di dalam dan luar padang – pada suatu ketika negara itu mempunyai dua liga bola sepak yang masing-masing mendakwa paling utama. Indonesia pernah diharamkan daripada semua aktiviti bola sepak antarabangsa oleh badan induk FIFA pada 2015 kerana campur tangan kerajaan.

Dibenarkan kembali bergerak setahun kemudian selepas beberapa siri pembaharuan dan akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA, Mei depan selepas pertandingan itu ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Indonesia yang kali terakhir menganjurkan pertandingan utama pada 2007 apabila menjadi tuan rumah bersama Piala Asia, kejuaraan benua untuk pasukan kebangsaan, juga membida untuk menganjurkan edisi 2023 selepas China menarik diri daripada menjadi tuan rumah, awal tahun ini.

Keputusan mengenai bidaan itu dengan Indonesia bersaing bersama Qatar dan Korea Selatan, dijangka diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) pada 17 Oktober ini.

Keganasan dalam perlawanan bola sepak masih berterusan dengan persaingan dalam liga utama Indonesia kerap mencetuskan kecelakaan, termasuk kematian.

Mengikut laporan Australian Broadcasting Corp, antara 1994 hingga dan 2019, seramai 74 peminat maut dalam keganasan berkaitan bola sepak dengan penyokong Persib Bandung diharamkan daripada perlawanan pada 2018 selepas kematian seorang peminat Persija Jakarta.

- Advertisement -