Manhaj pemikiran Imam al-Qaradhawi yang membekas

- Advertisement -

NAMA Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam wacana keilmuan umat Islam abad ini. Beliau masyhur sama ada dalam kalangan yang bersamanya atau yang tidak menggemarinya.

Kita diajar agar mengasihi para ulamak dengan memanfaatkan pusaka ilmunya. Syeikh al-Qaradhawi boleh dikatakan sebagai antara ilmuwan semasa yang sangat banyak mengarang kitab. 

Dari perbahasan aqidah, pemikiran, fiqh, akhlak, kemasyarakatan, ekonomi dan politik, hampir semua permasalahan yang membabitkan kepentingan umat pasti ada ulasan ilmiah dari beliau. Disebabkan itu nama Syeikh al-Qaradhawi menduduki tempat istimewa dalam hidup kita semua selaku pembaca dan penuntut, kerana karyanya sering menjadi rujukan sejak dahulu.

Antara manhaj pemikirannya yang cukup relevan untuk kita semua warisi adalah:
1. Taysir, tabsyir dan realistik.

Mengemukakan praktis Islam yang mudah dan mesra umat, sesuai dengan realiti hari ini yang serba kekurangan jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan Islam dahulu. Cara pengolahannya menyebabkan Islam kelihatan realistik, tidak bersifat utopia yang hanya terperangkap dalam kapsul masa lampau.

2. Jelas dan sederhana.

Perbahasan yang dikemukakan mesti dipasak dengan nas-nas yang jelas, dari sudut maksud, konteks dan keabsahannya. Tulisannya tidak merewang, sebaliknya ringkas dan objektif. Begitu juga kesederhanaan yang digagaskannya, dalam permasalahan seumpama aqidah, pemikiran, fiqh mahupun akhlak, selalu Syeikh al-Qaradhawi akan nyatakan juga kutub-kutub ekstrem yang pada hematnya tidak tepat dijadikan sebagai pegangan.

3. Al-Insof dan bebas dari fanatisme.

Terdapat beberapa kitab Syeikh al-Qaradhawi yang menyentuh soal permasalahan-permasalahan dalam bermazhab. Beliau menyedarkan kita bahawa mazhab adalah mazhab, yang seharusnya menjadi kemudahan buat umat, bukan sebaliknya. 

Syeikh al-Qaradhawi juga berani mengamal sikap mengkritik secara konstruktif, sekalipun ke atas lingkungannya sendiri. Sebagai seorang Azhari dan Ikhwani, beliau tetap mengkritik jika ada yang dilihatnya tidak selari dengan aspirasi agama. Riwayat hidupnya pun telah membuktikan beliau seorang pemberani.

4. Tajdid dan menyeluruh.

Antara masalah umat hari ini adalah jumud, lantas Syeikh al-Qaradhawi menekankan betapa pentingnya menjalankan tajdid dari segenap aspek. Beliau menekankan tajdid itu bukan buat perkara baharu, tetapi mengembalikan agama tanpa pencemaran persis keadaannya baru disampaikan oleh Nabi. Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Islam adalah agama ilmu, bahkan Islam adalah agama yang mensepadukan antara naqal (al-Quran al-Hadis) dan akal.

Selaku pembaca kitab-kitabnya dan pendengar syarahan-syarahannya di internet, kita semua boleh menganggap beliau sebagai al-Imam yang telah menjadi pencerah kepada umat ini dalam banyak hal. Syeikh al-Qaradhawi telah memberikan yang terbaik untuk kita.

Tinggal lagi, kita menjadi penyambung kepada usaha-usaha ilmunya. Semoga al-Imam Yusuf al-Qaradhawi ditempatkan bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Salihin. Amin.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -