Pemergian Al-Qardhawi: Patahnya payung besar memayungi ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan pemergian tokoh ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai patahnya payung besar yang memayungi ummah.

Sehubungan itu, Ketuanya, Senator Ustaz Dato’ Ahmad Yahya berkata Dewan Ulamak PAS Pusat melahirkan rasa penuh dukacita merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah kepada ahli keluarga dan seluruh umat Islam di atas pemergian Syeikhul Ummah itu.

“Sesungguhnya umat Islam kehilangan permata ummah yang sangat berharga dengan berita pemergian Almarhum,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

- Advertisement -

Menurutnya, terlalu besar jasa Almarhum untuk ummah sejagat.

Tambahnya, Almarhum telah mewakafkan sepenuh komitmen terhadap bidang keilmuwan dan dakwah serta menukilkan pelbagai naskah daripada neraca perspektif Al-Quran, Al-Hadith serta bidang ketauhidan.

“Malah, penulisan dan perbahasan beliau dalam bidang fiqh kenegaraan, usul fiqh serta ekonomi Islam kontemporari memecahkan tembok penyelesaian selain memberikan panduan yang penting kepada ummah pada hari ini,” ujarnya

Tambahnya, tidak dapat dinafikan ketokohan Almarhum sebagai ulama terulung pada abad ini. “Guru beliau, Syeikh Muhammad Al-Ghazali pernah menyebutkan bahawa Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi suatu ketika dahulu adalah anak muridnya, namun kini beliau telah menjadi guru.

“Hakikat ini menggambarkan keilmuwan yang tinggi pada susuk tubuh Almarhum,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau Dewan Ulamak PAS Pusat merasai kesedihan umat Islam yang kehilangan seorang tokoh ulama yang berjasa pada ummah.

“Kehilangan seorang tokoh ulama ibarat patahnya payung besar yang memayungi ummah.

“Semoga Almarhum Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi diletakkan dalam kalangan mereka yang bertaqwa dan beramal soleh.

“Semoga gagasan keilmuwannya diwarisi oleh generasi ummah pada masa ini dan akan dating,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -