Iran dakwa AS usaha gugat kestabilan Republik Islam

Rakyat Iran pro-kerajaan berhimpun menentang perhimpunan protes anti-hijab di Iran baru-baru ini, selepas upacara solat Jumaat di Tehran, Iran pada 23 Sept 2022. (FOTO: West Asia News Agency/Reuters)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

- Advertisement -

TEHERAN: Kerajaan Iran mendakwa Amerika Syarikat menyokong perusuh yang merusuh di jalanan negara itu susulan kematian seorang gadis Kurdish, Mahsa Amini dan berusaha untuk menggugat kestabilan Republik Islam.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Naseer Kanaani dalam kenyataannya berkata, Washington sentiasa cuba melemahkan kestabilan dan keselamatan Iran walaupun ia tidak berjaya, lapor Reuters.

Di laman Instagramnya, Kanaani mendakwa pemimpin AS dan beberapa negara Eropah cuba memanipulasi insiden yang menimpa Amini dengan menyokong perusuh jalanan pro-Amini atau anti-hijab, dan mengabaikan ‘kehadiran berjuta-juta orang di jalanan dan dataran di negara itu untuk menyokong sistem yang ditetapkan kerajaan Iran itu’.

Iran kini berdepan lebih banyak kritikan antarabangsa pada Isnin (26 Sept) berhubung kematian Amini, 22, dalam tahanan unit polis moral negara itu, Gasht-e-Ershad yang mencetuskan protes khususnya golongan liberal di seluruh Republik Islam itu, selepas Tehran menuduh Washington menggunakan pergolakan itu untuk cuba menggugat kestabilan negara tersebut.

Pihak berkuasa Iran sebelum ini dilaporkan telah bertindak keras terhadap demonstrasi terbesar sejak tahun 2019, yang dicetuskan oleh kematian Amini pada 16 Sept lalu selepas dia ditahan oleh unit polis moral negara itu yang menguatkuasakan sekatan ketat Republik Islam terhadap etika berpakaian menutup aurat untuk wanita termasuk mengenakan hijab dengan sempurna.

Campur tangan negara bukan Islam

Sehubungan itu beberapa negara bukan Islam dilihat cuba campur tangan dalam isu berkenaan termasuk Kanada, Jerman dan sudah tentu, AS.

“Kanada dilaporkan akan mengenakan sekatan ke atas pihak  yang bertanggungjawab atas kematian Amini, termasuk unit polis moral Iran dan kepimpinannya,” kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Isnin (26 Sept).

“Kami telah melihat Iran mengabaikan hak asasi manusia berkali-kali, kini kami melihatnya dengan kematian Mahsa Amini dan tindakan keras terhadap protes, ” tegasnya kepada media di Ottawa.

Juga pada Isnin, Jerman memanggil duta Iran di Berlin untuk menggesa Tehran menghentikan tindakan kerasnya terhadap perusuh jalanan dan membenarkan protes secara aman. 

Ditanya mengenai kemungkinan sekatan lanjut ke atas Tehran sebagai tindak balas kepada keganasan, jurucakap kementerian luar Jerman berkata, “Kami akan mempertimbangkan semua pilihan dengan negara Kesatuan Eropah yang lain.”

Minggu lalu, AS mengenakan sekatan ke atas polis moral Iran atas dakwaan penderaan terhadap wanita Iran, dengan mengatakan bahawa unit itu bertanggungjawab atas kematian Amini. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -