Kapal angkasa NASA rempuh asteroid

Tangkapan skrin menunjukkan beberapa saat sebelum kapal angkasa DART merempuh pada asteroid Dimorphos. (FOTO: NASA)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

- Advertisement -

CAPE CANAVERAL, Florida: Kapal angkasa NASA berjaya merempuh asteroid pada Isnin (26 Sept) waktu tempatan dalam ujian ‘pertahanan’ untuk melindungi planet bumi daripada dirempuh asteroid pada masa depan.

Kapal angkasa yang dikenali sebagai Double Asteroid Redirection Test (Ujian Pengalihan Asteroid Berganda/DART) itu dilancarkan ke angkasa dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California pada November 2021; dan menghabiskan 10 bulan perjalanan ke sasaran asteroid bulan kecil atau batu angkasa dikenali sebagai Dimorphos, lapor ABC News.

“Kesan pelanggaran DART dengan Dimorphos disahkan untuk misi bersejarah ujian pertahanan planet pertama di dunia bermatlamat untuk menghalang objek kosmik daripada memusnahkan kehidupan di planet bumi,” ujar kenyataan melalui grafik dalam siaran langsung NASA, ketika jurutera dan saintis, di sini, meraikannya dengan sorakan.

Nahas agar kapal angkasa DART melanggar asteroid Dimorphos sudah dirancang tujuh tahun lalu oleh NASA. (FOTO: Alpes Holiday)

Kejayaan DART itu disiarkan secara langsung oleh agensi angkasa lepas AS untuk menunjukkan kepada dunia ujian pertahanan planet bumi sekiranya asteroid menghala ke arah yang menyebabkan berlaku perlanggaran dengan bumi ini pada masa hadapan.

Nahas yang disengajakan itu telah dirancang selama tujuh tahun, dengan NASA sedang mencari jawapan untuk melihat sama ada ia boleh mengarahkan probe angkasa secara manual untuk berlanggar dengan asteroid dan memesongkan trajektorinya bagi mengelakkan kesan yang berpotensi mendatangkan bencana pelanggaran dengan bumi.

“Ia sungguh menakjubkan, bukan?” kata Ketua Saintis DART, Nancy Chabot sejurus selepas kapal angkasa itu berjaya bertembung dengan asteroid itu.

Pada malam Isnin, pengawal misi dari NASA (di bumi) mengawal kapal angkasa DART berkenaaan untuk memandu secara automatik ke arah asteroid Dimorphos yang terletak kira-kira  6.5 juta batu (10.5 juta kilometer) jauhnya di angkasa lepas.

Imej yang dirakam oleh kapal angkasa DART NASA sebelum kapal angkasa itu berlanggar dengan asteroid Dimorphos. (FOTO: ASI/NASA)

Kapal angkasa itu merempuh asteroid pada kelajuan 15,000 batu sejam (24,140 km sejam) dengan kamera khas dari probe angkasa Itali yang menangkap kesan kosmik.

“Ini adalah demonstrasi teknologi yang sangat sukar yang melanda asteroid kecil, kami tidak pernah lihat sebelum ini, dan melakukannya dengan cara yang begitu hebat,” kata Chabot.

NASA berkata matlamatnya bukan untuk memusnahkan asteroid tetapi untuk melihat sama ada ia boleh membelokkannya secara manual daripada melanggar planet jika saintis melihat cukup jauh lebih awal bahawa asteroid berada di laluan perlanggaran dengan bumi.

Saintis kini mengambil data yang direkodkan daripada kesan pelanggaran DART-Dimorphos itu menggunakan rakaman teleskop nahas untuk melihat perbezaan kesan yang dibuat dalam mengubah hala trajektori asteroid.

Menurut NASA, tiada asteroid yang diketahui buat masa ini di angkasa lepas, yang saiznya adalah lebih besar daripada 450 kaki (137 meter) dalam keadaan melintang dan mempunyai peluang besar untuk merempuh bumi dalam tempoh 100 tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -