Solat jenazah ghaib Almarhum Yusuf al-Qaradawi di Perlis, esok

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertemu Almarhum Sheikh Yusuf al-Qaradawi di Doha, Qatar pada 2012
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Seluruh masjid di negeri Perlis akan melaksanakan solat jenazah ghaib atas pemergian ulama besar dunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi selepas solat zohor, esok.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan solat jenazah itu diselaraskan memandangkan ia dilaksanakan pada waktu asar di Qatar pada hari ini.

- Advertisement -

“Sehubungan itu, adalah digalakkan kepada seluruh umat Islam dalam negeri Perlis untuk menyertai solat berkenaan seperti mana yang telah diperkenankan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baginda turut dijadualkan berangkat melaksanakan solat zohor dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail seperti waktu yang telah ditetapkan.

Baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah bahawa pemergian Sheikh Yusuf merupakan suatu kehilangan besar buat dunia Islam.

“Didoakan jua Rahimahullah ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan para solihin,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 27//9/22

- Advertisement -