Kerajaan dan rasuah tidak dapat dipisahkan?

PAS buktikan kerajaan dan pimpinannya bebas rasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skeptikal bahawa rasuah merupakan elemen yang lazim bagi sesebuah kerajaan adalah pemikiran wajib diubah daripada minda kepada membebaskan pemerintahan daripada unsur jijik itu.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegaskan, anggapan bahawa kewujudan kerajaan tidak terpisah daripada rasuah adalah pemikiran terkebelakang, sedangkan untuk maju rasuah mesti dihapuskan. 

Menurut beliau, PAS telah membuktikan menerusi pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah dipimpin parti itu lebih 30 tahun tanpa terbabit dengan sebarang salah laku atau kes rasuah. 

“Begitu juga dengan Terengganu yang sekarang ini kita (PAS) dah memimpin dekat lima tahun. Dan kita mendapat saban tahun duit royalti lebih daripada RM1 bilion. Tidak timbul isu rasuah di negeri Terengganu di bawah kerajaan pimpinan PAS.  

“Begitu juga di Kedah dengan pelaburan yang banyak, yang tertinggi. Negeri yang mendapat pelaburan tertinggi di kalangan negeri-negeri lain dalam negara ini tidak ada timbul isu rasuah. 

“Jadi asas kepada maklum balas daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memberitahu tiga Kerajaan PAS dan tiga Menteri-menteri Kabinet PAS termasuk lima Timbalan-timbalan Menterinya tidak ada terpaut, terkait dengan kes rasuah.  

“Jadi ini yang PAS cuba walk the talk, kita membawa perjuangan akidah Islam, pertimbangan dosa dan pahala dan ini yang menjadikan kita tidak terbabit dengan perkara ini,” hujahnya. 

Beliau menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan pemanggil semasa berwawancara secara siaran langsung dalam rancangan Bual Bicara di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim di stesen media tersebut, di sini baru-baru ini. 

Dalam soalan lain yang dikemukakan, beliau menyangkal bahawa hanya Pakatan Harapan (PH) membarisi ramai pemimpin anak muda, sebaliknya kemuka Khairil, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) juga ramai anak muda. 

Menurutnya, pemimpin muda ini perlu diketengahkan dan ditunjukkan kredibiliti mereka dalam memimpin negara atau pemikiran mereka dalam ruang-ruang yang banyak boleh ditampilkan. 

“Jadi saya tidak nampak kita ada kekurangan kepimpinan leadership sebegitu di dalam PN mahupun BN. Apa yang ada pada rakan-rakan di PKR ataupun di PH, itu kekuatan mereka, dan kita perlu menghadapinya. 

“Dan kalau kita nak menang, kita perlu juga menyediakan kepimpinan-kepimpinan sedemikian. Saya boleh angkat nama Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang perbahasan beliau di dalam Dewan Parlimen cukup tuntas, cukup komprehensif.  

“Ya contoh pemimpin-pemimpin muda kami yang terkedepankan, kami kedepankan di dalam PAS. Jadi kalau mereka ada tokoh mereka, kita juga ada tokoh kita. Sekarang ini bagaimana kita nak memasarkan mereka dan juga pemikiran mereka.  

“Ataupun cara mereka melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat, ini game changer kepada sokongan anak muda,” ujar beliau yang juga seorang jurutera teknologis profesional. 

Tambah beliau, Muktamar Tahunan PAS membuktikan apabila kuota calon anak muda menjadi butiran Ucapan Dasar Presiden dan perbahasan perwakilan untuk pemilihan golongan tersebut sebagai calon dan dipasarkan kepada rakyat. 

“Jadi pada kami untuk meletakkan anak muda yang mempunyai capability, yang mempunyai pengalaman di dalam PAS ni perkara yang mudah. Insya-Allah,” optimis beliau. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -