‘Isu kolam itu kita serahkan kepada kerajaan negeri’

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI:
Isu tiga kolam takungan air ladang Musang King di puncak Gunung Inas diserahkan kepada kerajaan negeri untuk membuat sebarang keputusan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya yakin kerajaan negeri memberi perhatian kepada isu itu memantau semua projek di negeri ini sebaik mungkin.

- Advertisement -

“Isu kolam itu kita serahkan kepada kerajaan negeri dan saya yakin mereka (kerajaan negeri) memantau perkara itu dan susulan dengan tindakan sekiranya kolam berkenaan mengancam keselamatan,” katanya pada sidang media di pejabat pengurusan lembangan Sungai Muda, di sini, semalam.

Seperkara lagi ujarnya, projek Ladang Musang King dan kolam takungan air itu dilaksanakan oleh pemaju dan kerajaan negeri akan memastikan sejauh mana ia merbahaya kepada penduduk sekitar.

Beliau juga memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengeringkan tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal di gunung berkenaan kerana dibimbangi akan memberi risiko kepada penduduk setempat.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiga kolam takungan yang menjadi sumber air kepada tanaman durian Musang King di Gunung Inas itu tidak boleh sewenang-wenangnya dimusnahkan kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

Sementara itu, menurut laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa khas Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), kolam tersebut bukan punca kejadian aliran puing di Kupang, Baling, 4 Julai lalu.

Dalam kejadian tiga bulan lalu, banjir lumpur dan aliran puing menjejaskan lebih 800 penduduk dari 42 kampung sekitar Kupang selain meragut tiga nyawa di Kampung Iboi. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -