SERUAN jelas yang telah ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melalui ucapan beliau sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-77 di New York, Amerika Syarikat telah meletakkan Malaysia ke hadapan dalam memperjuangkan keamananan dan keadilan sejagat bagi isu-isu dan konflik antarabangsa yang berlaku ketika ini.
Gesaan yang dilafazkan oleh beliau dalam Bahasa Melayu ketika berpakaian lengkap berbaju Melayu turut memartabatkan di bahasa ini pentas Antarabangsa telah mengingatkan keagungan bahasa ini yang merupakan lingua franca dan digunapakai sebagai medium komunikasi oleh pedagang-pedagang asing dari abad ke-7 sehingga abad ke-19.
Usaha mulia ini pernah dimulakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ucapannya dengan menggunakan Bahasa Melayu di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland tahun lepas.
Selaku Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian, saya menyokong ketegasan YAB Perdana Menteri dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan global dalam isu konflik peperangan moden yang telah mengakibatkan kesengsaraan penduduk dunia, krisis keselamatan makanan dan penambahan jumlah pelarian di dunia akibat peperangan ini seperti yang berlaku di Palestin, Myanmar dan Ukraine.
Dasar Apartheid yang diamalkan oleh penceroboh dan pendudukan haram Israel telah mengakibatkan kekejaman dan penindasan tanpa memikirkan prinsip kemanusiaan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.
Dunia telah melihat kekasaran dan keganasan negara Israel telah memusnahkan kehidupan penduduk Palestin melalui peperangan, rampasan wilayah, dan pemindahan secara kasar merupakan pencabulan hak asasi manusia yang melampaui batas.
Beliau yang turut melahirkan perasaan kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021 di mana sikap sambil lewa dan berlepas tangan oleh Majlis Keselamatan dengan menyerahkan situasi ini kepada Asean merupakan suatu luahan Malaysia yang jelas untuk memastikan keadilan dunia tercapai termasuk isu pencabulan Undang-undang Antarabangsa.
Krisis politik ini yang turut memberikan kesan yang buruk terhadap pelarian Myanmar daripada etnik Rohingya turut dilihat sebagai isu kemanusiaan yang harus diperhalusi dan diambil berat oleh kuasa-kuasa besar dari negara anggota dalam PBB.
Bahkan, saya secara peribadi melihat tindakan pihak tentera Myanmar yang berterusan mengamalkan dasar ‘penghapusan etnik’ harus dibawa ke muka pengadilan.
Justeru, gesaan Malaysia terhadap kuasa-kuasa besar supaya tidak terkecuali memberikan tindakan pantas bagi penyelesaian konflik ini dan tidak mengambil tindakan double-standard adalah suatu seruan berani yang terpuji demi memberikan keadilan secara menyeluruh.
Laungan keamanan sejagat oleh YAB Perdana Menteri terhadap pergeseran politik dan konflik antarabangsa ini harus diselesaikan melalui pentas dialog dan perundingan bertepatan dengan salah satu prinsip Malaysia yang digariskan di dalam Dasar Luar Negara iaitu ′menyelesaikan masalah menerusi rundingan’.
Maka, saya menyokong penuh gesaan dan tindakan YAB Perdana Menteri dalam mencari solusi bagi semua isu-isu antarabangsa yang telah dibangkitkan dalam ucapan beliau.
YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian
26 September 2022 – HARAKAHDAILY 26/9/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!