KASA luluskan peruntukan RM1.3b RTB Kedah

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL 

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Kedah. 

Menteri KASA, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek itu membabitkan Sungai Pendang, Sungai Kedah/Anak Bukit, Baling dan Bandar Jitra Selatan dan memberi fokus kepada projek pemuliharaan muara sungai, pembangunan lembangan sungai bersepadu, pengawalan hakisan pantai serta projek saliran bandar. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda, di sini, hari ini.

Pada sidang media sama, beliau memaklumkan melalui peruntukan yang sama, RM26 juta telah diluluskan untuk membina dua empangan sabo di kaki Gunung Inas sebagai langkah mengurangkan impak serta menyekat aliran puing sekiranya berlaku hujan lebat.

“Di Kedah, sebanyak tujuh empangan sabo akan dibina iaitu dua di Yan dan Baling serta tiga lagi tambahan di kawasan baharu.

“Setakat ini, satu telah siap di Yan manakala di Baling peruntukan sudah ada tetapi sedang dalam proses lantikan kontraktor,” jelas beliau.

Empangan sabo di Kedah, ujarnya, merupakan yang pertama di Malaysia dan menjadi model pelaksanaannya untuk negeri-negeri lain. 

Dalam perkembangan yang sama, Kedah juga antara negeri yang diberi fokus melalui projek-projek mengurangkan risiko banjir seperti di Yan, Baling dan lain-lain. 

“Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 billion dan ia merupakan yang terbesar dalam sejarah dan sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir secara holistik. 

“Peruntukan itu tidak termasuk yang telah diluluskan dalam RTB  dan gerakerja akan dimulakan pada penghujung tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAULY 25/9/2022

- Advertisement -