2023: Ekonomi 66 negara jatuh merudum

Presiden Indonesia, Jokowi Widodo. (FOTO: AP)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

JAKARTA: Tahun 2023 bakal menjadi tempoh paling sukar untuk dihadapi dan diharungi penduduk dunia, dengan 66 buah negara bakal mengalami kejatuhan yang merudum dari segi ekonomi akibat krisis ekonomi, makanan dan tenaga impak pandemik Covid-19 dan perang antara Rusia-Ukraine.

- Advertisement -

Kenyataan berbaur amaran tersebut ditegaskan oleh Presiden Indonesia, Jokowi Widodo dalam satu majlis perjumpaan bersama Persatuan Pesara Tentera di Istana Bogor, di sini, yang menyeru agar semua rakyat negara itu lebih berhati-hati dengan keadaan ekonomi sekarang ini, lapor Tempo.com.

Beliau berkata, ramalan itu terbongkar ketika beliau bercakap dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan pemimpin negara-negara G7.

“Mereka berkata kepada saya ‘Presiden Jokowi, tahun ini kita akan menemui kesukaran,’ dan saya bertanya bagaimana keadaan sebenarnya?” 

“Mereka menjawab, ‘Tahun depan akan menjadi tempoh yang paling sukar, bukan sahaja di Indonesia, tetapi ia akan dialami seluruh  dunia, berhati-hatilah’,” kata Jokowi. 

Jokowi menyatakan bahawa beliau menerima maklumat daripada Bank Dunia bahawa 66 buah negara akan ‘runtuh’ akibat keadaan ekonomi yang teruk. 

“Angka itu, pada mulanya hanya 9 negara, kemudian meningkat sebanyak 25, kemudian bertambah kepada 42 dan akhirnya 66 negara.

“Mereka mengira secara terperinci. Kita benar-benar melihat apa yang kita bimbangkan dan kini 320 juta orang di dunia sudah pun mengalami krisis kebuluran yang teruk,” katanya.

Mengulas lanjut, Jokowi berkata pertumbuhan ekonomi di beberapa negara besar seperti Singapura, Eropah, Australia, dan Amerika Syarikat juga telah jatuh.

Menurut laporan egscholar.com, lima buah negara yang mengalami kadar inflasi paling tinggi di dunia pada 2022 ialah Sudan dengan 382.62 peratus) diikuti Lubnan (211.43 peratus), Zimbabwe (98.55 peratus), Suriname (34.89 peratus) dan Ethiopia (34 peratus;, dengan Zambia, Turkiye, Nigeria, Haiti dan Guinea melengkapi senarai Top 10 negara yang mempunyai kadar inflasi tertinggi di dunia 2022, setakat ini.

“Apa yang berlaku pendapatan rakyat semua negara di dunia kini diancam oleh isu kenaikan harga barang dan inflasi,” ujar Jokowi.

550 juta populasi bakal miskin tegar

Sementara itu, Yahoo News melaporkan Jokowi berkata, apabila perang meletus di Ukraine, ia menyebabkan krisis tenaga dan makanan,dan  dunia masih bergelut dengan kesan kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Beberapa negara diramalkan akan muflis, manakala lebih 550 juta penduduk dunia menghadapi kemiskinan tegar dan 345 juta yang lain menghadapi kekurangan makanan dan kebuluran.

“Kita mesti sentiasa berwaspada dan lebih berhati-hati kerana kini krisis demi krisis menghantui dunia,” kata Jokowi. 

Serangan Rusia di Ukraine telah memburukkan lagi masalah kenaikan harga di Indonesia di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang berterusan daripada wabak Covid-19, menyebabkan harga minyak masak melambung tinggi manakala gangguan dalam gandum, kacang soya dan jagung telah menjejaskan kos beberapa makanan.

“Cabaran bukan mudah untuk dunia dan Indonesia. Kita mesti menghadapi cabaran itu dengan berhemah dan berwaspada,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -