Benar, PH tidak boleh diharap terajui Malaysia

- Advertisement -

MEMBACA kenyataan Presiden PAS terhadap PH, membuatkan jiwa ini semakin kukuh untuk menetapkan pendirian yang PH sememangnya tidak boleh diharap dalam menerajui negara mahupun berkawan, paling kurang sehingga waktu ini. Jelas dengan banyaknya contoh, dalil dan juga pengalaman yang diluahkan oleh Presiden PAS, ia amat tepat.

Presiden PASlah individu yang paling layak untuk memberikan pandangan politik beliau terhadap keseluruhan organisasi PH yang mana, mereka pernah berada di bawah satu bumbung, berpakat bagi menumbangkan BN, sama-sama merasa perit perjuangan. Kemudian PAS dikhianati, dipaksa supaya melakukan onar kepada rakyat, menukar Menteri Besar kerana nafsu serakah, seperti dalam episod Langkah Kajang yang jahat itu. Ditikam pula dari dalam oleh pimpinan PAS yang belot, barua musuh. Cuba dihalau daripada Kerajaan Selangor. Semua telah dilalui Presiden PAS.

Menariknya, setiap perkataan Presiden PAS yang menghiris menusuk ke kalbu PH, dianggap satu tuduhan jahat atau liar oleh PH. Tetapi dalam masa yang sama, Presiden PAS membawakan bukti-bukti, kebenaran ucapannya. Pada waktu PH secara beramai-ramai membuat laporan polis terhadap kenyataan Presiden PAS bahawa bukan-Melayu Islam paling ramai yang terlibat dengan rasuah, bahkan, PHlah yang mendapat aib kerana rupanya benar, ada kajian yang menyatakan demikian.

Diam mereka dengan kebenaran itu. Timbul lagi cerita berkenaan kalangan PH disertai oleh mereka yang rendah akhlak dan tidak bertaqwa atau takutkan Allah. Riuh lagi PH, sehingga ada yang mahu melaporkan dakwaan Presiden PAS ini kepada Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS). Konon tuduhan Presiden PAS itu tersasar dan mengaku mereka sebenarnya dari kalangan orang-orang yang bertaqwa. Tetapi tiada bukti pengakuan mereka dengan perilaku mereka itu sama. Malah jemaah mereka memang dikuasai bukan-Islam.

Kita dapat melihat pekung PH yang mereka sendiri dedahkan. Pembohongan Rafizi sebaik keluar dari pertapaan politiknya (yang beliau nyatakan dahulu untuk terus bersara), berkenaan nama isteri salah seorang Pegawai Kerajaan. Begitu juga dengan tuduhannya bahawa PAS bergantung kepada jentera kerajaan bagi meramaikan kehadiran program PAS. Padahal Tengku Zulfuri, ketika menjadi Timbalan Menteri PH, telah menyalahgunakan kenderaan kerajaan sewaktu berkempen PRK.

Kongres PAN yang hambar tiada sambutan, juga memberikan indikasi betapa pembohongan, tidak dapat bertahan lama. Rakyat sekarang amat bijak menilai. DAP kini diragui bersihnya disebabkan si kafir yang kononnya amanah itu ialah ketua mereka, terpalit rasuah. Ia terbongkar dengan pendakwaan kes yang ketika mereka berkuasa, telah dibuang kes. Sehinggakan mati saksi utama, DAP diam tidak menyalak menyalahkan sesiapa sebagaimana matinya Teoh Beng Hock.

DAP juga masih terkial-kial membuka jerutan perkauman dan tidak sukakan Islam, yang mereka sendiri kalungkan. Ia menyaksikan hanya seorang Melayu Islam yang menang pemilihan jawatankuasa parti mereka. Melayu lain, hanya nasi tambah. Malah ‘dewa perlembagaan’ DAP Aziz Bari juga tersembam. Apa nak harap pada Aziz, dengan Peja pun dia kalah. Madu yang ditabur bagi memaniskan lakonan mereka, kini sudah diketahui orang yang madu itu sebenarnya gula yang berpenyakit. Semua mulai menjauhi mereka. Strategi PAP dahulu menipu Melayu, gagal dilakonkan semula oleh DAP.

Integriti juga hanyalah retorik dalam pakatan mereka. Integriti hanya sekadar nama, bukan untuk diamalkan, tetapi sebagai umpan untuk menjerat beberapa mangsa dungu yang masih berbaki yang mempercayai mereka. Mungkin masih segar dalam ingatan kita bagaimana DUN Selangor sengaja dipendekkan kerana tidak mahu membahaskan Enakmen Keluarga Islam berkenaan penukaran agama?

Apa upaya mereka sekarang? Mereka hanya mampu menyerang dengan fitnah. Pecahkan kesatuan Melayu Islam dengan pembohongan, tenggelamkan muda mudi dengan hiburan yang menjahanamkan. Dengan tuduhan dahulu PH menerima dana Israel, masih belum mereka sucikan, apa sangat yang boleh diharap yang mereka akan lebih Islamik? Tiada harapan. PH sentiasa muda untuk memfitnah, tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.

Tindakan PAS mengumumkan untuk tidak bertembung kerusi dengan parti selain PH, menunjukkan kesungguhan PAS membentengi negara daripada onar PH. PAS akan pastikan yang PAS tidak menjadi punca kekalahan parti Melayu Islam. Selebihnya terserah kepada Umno dan BERSATU. Kegagalan berpakat dengan betul sewaktu PRU-14 empat tahun lalu, memberikan kesan yang pedih dengan PH muncul pemenang.

Hasrat Presiden PAS jelas, tegas, untuk menjadikan Melayu Islam sebagai teras kepada pemerintahan kerana beliau begitu menyayangi negara ini. Semangat patriotik Presiden PAS ini, wajib disokong untuk kesejahteraan negara. Apa yang beliau lakukan melalui PAS, adalah untuk kebaikan seluruh rakyat. Malaysia insya-Allah pasti sejahtera dengan penyatuan parti Melayu Islam, terutama PAS dengan Umno dan BERSATU.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 September 2022 – HARAKAHDAILY 22/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -