Bale yakin cergas menjelang Piala Dunia Qatar

Gareth Bale ketika beraksi mewakili Los Angeles FC menentang Houston Dynamo.
- Advertisement -

Kapten Wales, Gareth Bale, berkata dia berada di landasan tepat untuk cergas sepenuhnya menjelang Piala Dunia di Qatar, walaupun tidak bermain perlawanan penuh sejak menyertai Los Angeles FC (LAFC), Jun lalu.

Bale menyertai liga bola sepak Amerika Syarikat selepas meninggalkan Real Madrid, bergelut dengan kecederaan dalam beberapa musim terakhirnya. Dia hanya membuat dua permulaan dalam 11 penampilan bersama LAFC dan menjaringkan dua gol.

- Advertisement -

Wales yang akan bermain pusingan akhir Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 64 tahun, memulakan kempen menentang Amerika Syarikat pada 21 November dan penyerang berusia 33 tahun itu menjangkakan kecergasannya akan bertambah baik ketika itu.

“Saya rasa akan menjadi lebih cergas. Saya belum bermain 90 minit lagi, itulah yang kami sedang usahakan dalam latihan,” katanya.

“Kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat itu. Saya mahu mencuba dan bermain 90 minit sebanyak yang boleh, tetapi faham bahawa saya perlu berusaha untuk mencapai tahap itu,” katanya.

Wales yang turut menentang England dan Iran dalam Kumpulan B Piala Dunia, bertemu Belgium di Brussels dalam Liga Negara-Negara pada Khamis nanti. – REUTERS

- Advertisement -