Tidak perlu keliru pada perjuangan PAS

- Advertisement -

MALAYSIAKINI melaporkan:

“Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Muhammad Faiz Na’aman, berkata sewajarnya pendirian terkini PAS mengenai BN diulas oleh pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Saya pun sudah berkali-kali menyatakan saya menghormati pendirian PAS dalam politik walaupun ia dilihat agak mengelirukan, dalam keadaan sekarang di mana kepimpinan Umno menolak kerjasama dengan PAS ketika PRU ke-15 nanti,” katanya kepada Malaysiakini.


Faiz mungkin berkawan dengan PAS tetapi tidak faham dasar dan matlamat PAS.

PAS berjuang puluhan tahun untuk menegak dan menerapkan politik Islam yang merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang dibebankan atas umat Islam.

Politik Islam bermula dengan Penyatuan dan Perpaduan Ummah sebagaimana diteroka dan berjaya dibina oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W di waktunya. 

Pendirian PAS sentiasa ke arah jajaran politik Penyatuan Ummah kerana ia perintah Allah S.W.T selain menjalin hubungan dengan kumpulan-kumpulan bukan-Islam yang tidak ekstrem.

Allah S.W.T kurniakan nikmat persaudaraan apabila kita berjaya membina kesatuan ummah. Ia bukan mudah tetapi sebagai sebuah parti dakwah pimpinan PAS tidak akan berputus asa.

Isnin lepas Setiausaha Agung PAS mengeluarkan kenyataan bahawa PAS menganggap Pakatan Harapan (PH) merupakan musuh mereka pada PRU ke-15 dan bukan BN.

Kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan lagi: “PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU ke-15 nanti,”

Biarlah PAS berjuang ke arah itu, usah keliru kerana ia tuntutan perjuangan PAS.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -