Konsert: Kelantan sentiasa menjadi tempat ‘rujukan’

- Advertisement -

RIUH sehari dua ini mengenai konsert di Kelantan. Ternyata, rupanya mereka yang tidak suka kepada PAS dan Kerajaan Kelantan pun memandang tinggi kepada imej Kelantan. 

Standard Kelantan tidak sama dengan negeri lain. Standard PAS tidak sama dengan parti lain. Tulisan ini bertujuan untuk menjawab beberapa hujah yang menentang sebarang penganjuran konsert di Kelantan. 

Kebijaksanaan ulamak dalam mendepani hiburan

Sejarah kebijaksanaan para ulamak Nusantara dalam menyeimbangkan hiburan dan Islam dapat dilihat dalam pendekatan para Wali Songo di zaman awal penyebaran Islam di Nusantara. 

Sebagai contoh, Sunan Kalijaga terkenal sebagai ulamak yang mampu mengekalkan hiburan wayang kulit yang amat digemari oleh masyarakat Jawa.

Wayang kulit masyarakat Jawa pada asalnya sarat dengan pengaruh agama Hindu dan cerita dewa-dewa mereka. Tetapi Sunan Kalijaga sedar hiburan ini tidak perlu dihapuskan, tetapi dibimbing dengan panduan Islam.

Lama-kelamaan, unsur Hindu perlahan-lahan terhakis dan terbuang. Begitulah kebijaksaan seorang ulamak; hiburan dikekalkan, akidah diselamatkan. 

Pendekatan yang sama digunakan oleh Kerajaan PAS Kelantan apabila mengharamkan persembahan wayang kulit, mak yong, dan main puteri yang mengandungi unsur-unsur agama Hindu. 

Proses ‘pemutihan seni’ ini terbukti berjaya sebagaimana yang dilakukan oleh Sunan Kalijaga di Mataram. Demikianlah Kelantan, menjadi penerus legasi pentadbiran agung Islam.

Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998

Beralih kepada isu konsert di Kelantan, penting untuk kita mulakan dengan undang-undang di Kelantan terlebih dahulu. Kerana jika ingin melihat bagaimana sesebuah kerajaan mentadbir dan menjaga rakyatnya, maka lihatlah kepada garis panduan dan kawalan terhadap sesuatu perkara itu.

Pada asasnya, enakmen ini menggariskan panduan penting seperti lelaki dan perempuan mestilah diasingkan, penampilan peserta hendaklan menutup aurat kepada yang Muslim dan berpakaian sopan kepada yang bukan-Muslim.

Selain itu, persembahan oleh wanita hanya boleh disaksikan oleh kaum wanita sahaja di tempat yang tertutup. 

Ini sekadar beberapa aspek yang utama. Banyak lagi aspek lain yang tidak disentuh. Tetapi cukup untuk kita faham bahawa Kerajaan Kelantan tidak mengharamkan semua jenis hiburan, tetapi meletakkan sempadan dan memantaunya. 

Tak sama zaman Almarhum Tuan Guru Nik Aziz?

Bab ini hanya berhajat kepada penerangan ringkas. Konsert Mawi diadakan pada tahun 2005. Konsert Jom Heboh diadakan pada tahun 2010. Kedua-duanya pada zaman Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. 

YB Fadhli Shaari menentang konsert

Ada yang guna hujah jika YB Fadhli Shaari menentang konsert Billie Eilish, Justin Bieber dan artis-artis antarabangsa yang lain, mengapa konsert di Kelantan tiba-tiba menjadi halal?

Jawapannya adalah garis panduan yang telah dinyatakan seperti di atas.

Sebagai contoh, konsert Billie Eilish tempoh hari langsung tidak mempunyai garis panduan. 

Bercampur lelaki dan perempuan. Saling sentuh menyentuh semasa bergembira menonton konsert yang sudah tentu membangkitkan hawa nafsu kepada jantina yang berbeza.

Malah ada portal berita yang menyebut: “Billie shows off her sensual personality when gyrated on the stage floor”. Perkataan ‘sensual’ dan ‘gyrated’ bererti aksi Billie Eilish pada masa itu mempunyai unsur rangsangan nafsu.

Dan salah satu lagu yang dimainkan berjudul ‘All the Good Girls Go To Hell’ yang mengandungi lirik: 

All the good girls go to hell
Cause even God herself has enemies
And once the water starts to rise
And heaven’s out of sight
She’ll want the devil on her team.

Sudah pastinya, persembahan yang sebegitu melampau dan lirik lagu yang jelas bermain-main soal ketuhanan tidak akan diizinkan untuk dipersembahkan di Kelantan.

Sekali lagi ditegaskan, garis panduan yang menjadi garis pemisah dan perbezaan antara konsert di Kelantan dan konsert-konsert di negeri lain yang tidak mempunyai garis panduan.

Kelantan menjadi penanda aras

Hikmah di sebalik isu konsert di Kelantan ini menjadi buah mulut perbincangan adalah rakyat Malaysia mula sedar kesederhanaan Kerajaan Kelantan dalam menguruskan rakyat.

Membenarkan tidak sehingga meliarkan. Mengawal dan memantau tidak sehingga mengharamkan.

Itulah formula asas pendekatan politik Islam yang sesuai dengan konsep ajaran Islam yang tidak bersifat melarang semata-mata, tetapi bersifat membenarkan bersama sempadan dan kawalan.

Benarlah kata pemerhati politik, Kelantan sentiasa akan menjadi rujukan dalam soal politik dan pentadbiran.

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -