KPWKM sedia beri kaunseling keluarga mangsa culik

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Netizen dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang didakwa dibawa lari sekumpulan lelaki ke negara jiran Selasa lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan kes berkenaan.

Malah katanya isu terbabit dalam tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

- Advertisement -

“Sebarang spekulasi seharusnya tidak berlaku kerana kita sebagai Keluarga Malaysia sepatutnya bertindak dengan saling menyelesaikan.

“Kita juga seharusnya saling membantu dan sekiranya ada sebarang makluman segera lapor kepada pihak berkuasa,” katanya selepas merasmikan program Simulasi dan Latihan Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini semalam.

Pada kejadian minggu lepas ejen komestik terbabit dilapor diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Tumpat dan dilarikan ke negara jiran.

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berharap orang ramai berdoa semoga isu tersebut dapat diselesaikan segera dan mangsa dikembalikan ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Kata beliau juga pihaknya sedia untuk memberi bantuan dari sudut kaunseling kepada ibu serta anak-anak mangsa yang trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Kementerian akan maklum kepada agensi terlibat untuk membantu anak-anak dan ibu bagi diberi sesi kaunseling dari segi emosi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun yang dilaporkan menjadi mangsa dera, kini menunggu perintah kelulusan mahkamah untuk diberi hak penjagaan sementara kepada JKM Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -