Kafir: Kenyataan Mahathir tidak dihirau anak muda

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR MAS:
Gaya politik kafir mengkafir antara umat Islam sudah berakhir, malah generasi muda sekarang menganggap ketinggalan zaman.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari berkata, isu tersebut yang ditimbulkan semula Pengerusi Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak lagi relevan.

Katanya, Tun sewajarnya menasihati generasi baru bagaimana cara untuk mengemudi politik negara supaya dapat membina negara ke arah lebih baik.

- Advertisement -

“Kami amat menghormati bekas Perdana Menteri terbabit sebagai bekas pemimpin negara yang banyak mencurah bakti serta berjasa kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Kita menghormati Tun sebagai seorang negarawan tetapi apabila beliau membangkitkan semula isu kafir mengkafir ia merupakan perkara yang tidak sihat kepada politik negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas ditemui selepas menghadiri perhimpunan penternak haiwan ruminan Domba Garut di bawah jambatan Tendong. Turut hadir Adun Tendong Rozi Muhamad.

Dr Mahathir baru-baru ini mendakwa PAS sebagai parti kafir ekoran hasrat parti itu untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno menerusi kaedah taawun siyasi.

Malah Ahli Parlimen Langkawi itu sudah beberapa kali membuat kenyataan termasuk mengeluarkan dakwaan kononnya PAS merupakan parti kafir kerana guna Islam untuk berpolitik.

Ahmad Fadhli juga berkata, kenyataan seperti itu dianggap sudah tidak dipedulikan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan belia. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -