Islam tonggak kebahagiaan rakyat Kelantan

- Advertisement -

KEBAHAGIAAN dalam pengakuan dan kajian banyak pihak sering berkait kuat kepada aspek ketuhanan, kerohanian atau agama hingga ia terzahir kepada kehidupan seseorang, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Kelantan biarpun dilumurkan palitan untuk memburukkan negeri ini, namun rasa bahagia itu tidak menjadi dongengan atau halwa penyedap telinga, tetapi satu hakikat yang membumi dalam kehidupan rakyat, hatta anak perantaunya.

Sungguhpun kebahagiaan itu adalah nilai rasa, ia telah diberi ukuran atau skala dalam pelbagai pengiktirafan sedia wujud masa kini, malah Rasulullah S.A.W telah lebih dahulu menggariskan mengenainya. Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud:

- Advertisement -

“Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.”

(Hadis Riwayat al-Bukhary)

Tanda disabdakan Nabi S.A.W itu begitu ketara menjadi antara kecemburuan ramai terhadap rakyat Negeri Kelantan yang sekalipun sering dicemuh negeri miskin, tetapi warganya memiliki sekonyol-konyol tiga perkara tersebut.

Jika dilihat dalam penilaian kepada menjulangnya kebahagiaan dalam kehidupan rakyat negeri ini, teras itu dapat dilihat kepada suburnya institusi agama berupa banyaknya masjid surau dan pusat pendidikan Islam.

Paling besar bila mana agama itu wujud sebagai dasar kerajaan memerintah menjadi sistem kepada tadbir urus dan dipimpin pula oleh para ulamak atau kalangan yang berjiwa ulamak.

Ia ternyata berbeza daripada kehidupan yang tidak bahagia pula di mana disenaraikan dalam banyak isu kehidupan. Hal ini dapat dilihat kepada dunia yang dikatakan membangun dan dipenuhi hiburan.

Misalnya negara seperti China, Jepun, Korea, Hong Kong dan Taiwan yang terkenal pengeluaran teknologi dan berkembang hiburannya. Tetapi di negara-negara tersebut angka membunuh diri dicatat setiap minit.

Tiada lagi kehidupan jika membunuh diri, apatah lagi rasa bahagia. Ia sekali gus menjelaskan pembangunan dan hiburan bukanlah petunjuk kebahagiaan, tetapi keseronokan tanpa tujuan semata.

Malah, dalam banyak penyelesaian kepada kemelut kehidupan serta pelbagai kecelaruan dan cacamarba, akhirnya manusia di bumi ini mencari agama dalam melandai atau menamatkan kesengsaraan itu.

Paling terkini kebahagiaan Kelantan itu terbukti bukan satu dakwaan apabila mencatat skor 7.02 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu dan jauh mengatasi Selangor di tempat terakhir dengan skor hanya 5.74.

Sementara kajian Status Kebahagiaan Bandar di Negeri Kelantan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa pula mencatat peratus lulus cemerlang mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Serambi Makkah ini. 

Iaitu 99.9 peratus bagi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam; Majlis Daerah Jeli (99.47); Majlis Daerah Gua Musang (97.24); Majlis Daerah Machang (92.34); Majlis Daerah Tanah Merah (91.03); Majlis Daerah Bachok-Bandar Pelancongan Islam (84.02); Majlis Daerah Dabong (82.23) dan Majlis Daerah Pasir Mas (81.46).

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -