Makmurnya dengan emas, juga bakal keluar mineral galian lain

- Advertisement -

BUMI Kelantan terus subur dan makmur dengan kurniaan Allah S.W.T termasuk pelbagai galian dan mineral di perut buminya biarpun ada antara hak tersebut dinafikan untuk dinikmati oleh negeri ini.

Terkini, pengeluaran emas di Mukim Sokor, Daerah Ulu Kusial, Jajahan Tanah Merah terus lestari mengeluarkan hasil buat Serambi Makkah ini sejak usaha dimulakan pada tahun 2007 dahulu lagi.

Daripada pengeluaran pertama pada 21 Julai 2010 di tanah seluas 956.5 hektar, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah memperoleh tribute emas sebanyak 3 peratus daripada nilai jualan emas sehingga tahun 2016.

Hasil semakan semula tahun 2017, kadar tribute tersebut telah dinaikkan kepada 4 peratus dan terkini dengan kolaborasi strategik bersama Syarikat CMNM Mining Group Sdn Bhd, loji pengapungan bagi pengeluaran plumbum dan zink pula disempurnakan.

Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob memberitahu, ia adalah loji ketiga dibina syarikat tersebut selepas loji pertama tahun 2013 dan loji kedua tahun 2018 di mana berdasarkan rekod sehingga Jun 2022, hasil pengeluaran berjaya dikutip adalah seberat 8.53 juta gram emas dengan hasil jualan RM1.07 bilion.

Maklum beliau juga, kerajaan negeri telah memperolehi hasil royalti emas sebanyak RM86.14 juta, sementara PKINK pula memperoleh hasil tribute sebanyak RM39.86 juta, selain CMNM Mining turut menyumbang melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM1 juta setahun kepada tabung pendidikan negeri.

Menerusi Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGTSB) satu platform Dinar Dirham elektronik telah disediakan bagi kemudahan orang ramai pelanggan untuk melakukan urusan membeli atau menukar ringgit mereka kepada syiling emas Dinar atau perak Dirham.

Transaksi secara digital ini membolehkan pembelian dan penjualan secara lebih efektif dengan realiti masa kini, sama ada pelanggan mahu memperolehi dalam bentuk fizikal atau menyimpannya di peti simpanan keselamatan berinsurans.

Menariknya, pihak KGT turut menawarkan peluang menjana pendapatan bagi mereka yang memperkenalkan pelanggan baharu dengan bayaran komisen RM3 bagi setiap akaun.

Pengenalan Dinar Dirham ini bukan baharu, ia telah diperkenalkan kepada awam sejak tahun 2010 lagi oleh KGTSB yang merupakan milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), hasil cetusan Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Legasi untuk memartabatkan kembali sistem ekonomi sunnah dengan penggunaan Dinar dan Dirham ini diteruskan pula kini oleh Dato’ Bentara Kanan Ustaz Haji Ahmad Yakob iaitu Menteri Besar Kelantan sekarang.

Setakat ini KGTSB mengeluarkan tiga produk utama iaitu Dinar Emas (917), Dirham Perak (999) dan Wafer 1 gram Emas (999) di mana sejak tahun 2015 lalu ciri-ciri keselamatan lebih terjamin seperti sijil ketulenan dan nombor siri dicetak pada dinar tersebut telah dilaksanakan.

Dinar Dirham Kelantan tersebut menjadi satu antara banyak kebanggaan diperkenalkan negeri ini yang tiada inisiatif seumpama dari negeri dan kebanyakan negara dunia lainnya.

Malah, ia seolah menjadi satu identiti kerana sinonim dan masyhurnya rakyat Kelantan dengan emas sama ada berupa pemakaian ‘menonjol’ oleh kaum wanita Cik Siti Wan Kembang di sini mahupun kewujudan banyak premis jualan emas di negeri ini.

Bahkan, banyak juga premis seumpama di negeri-negeri lain dalam kalangan Bumiputera terutamanya adalah dalam kalangan anak jati Kelantan yang merantau berhijrah dan bertebaran mencari rezeki.

Kerajaan Negeri Kelantan juga dalam perkembangan lain turut berusaha meningkatkan hasil perlombongan di negeri ini antaranya melalui penubuhan Makmal Geokimia Negeri Kelantan untuk mengenal pasti bahan galian dan mineral baharu. 

Dari kajian dibuat oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) iaitu Airborne Geophysical Survey In the East Coast Economic Region menemui beberapa bahan mineral baharu yang diklasifikasikan sebagai mineral nadir bumi (REE) dan berpotensi diusahakan akan datang.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -