9 maut, seorang bayi diselamatkan: Bangunan runtuh di Jordan

Sekurang-kurangnya 25 orang berada dalam bangunan kediaman usang di daerah Jabal al-Weibdeh di Amman, Jordan apabila ia runtuh pada 13 Sept 2022. (FOTO: AP)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

AMMAN: Pasukan penyelamat di Jordan berjaya menyelamatkan seorang bayi dan sedang mencari beberapa lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan runtuh di Amman, yang telah menyebabkan sembilan kematian setakat ini.

Sumber hospital berkata, mangsa terbaharu yang terselamat dikeluarkan daripada serpihan merupakan  bayi berusia lima bulan yang berada dalam keadaan stabil, lapor Al Jazeera.

- Advertisement -

Sekurang-kurangnya 25 orang berada dalam bangunan kediaman usang di daerah Jabal al-Weibdeh di ibu negara Jordan apabila ia runtuh pada Selasa (13 Sept) waktu tempatan lalu. 

“Terdapat sekurang-kurangnya 10 orang di bawah runtuhan dan  ada tanda-tanda kehidupan,” kata jurucakap kerajaan Faisal Shboul pada Rabu (14 Sept) semasa lawatan ke lokasi kejadian itu.

Anggota penyelamat pertahanan awam bekerja sepanjang malam untuk mengalihkan bumbung konkrit yang runtuh dan mengangkat serpihan dalam pencarian terdesak untuk mangsa yang terselamat. Kira-kira sedozen orang telah dipindahkan setakat ini, beberapa mengalami kecederaan serius, kata sumber hospital.

“Kami mengandaikan bahawa mereka yang terperangkap masih hidup,” kata Ketua Pertahanan Awam Hatem Jaber kepada pemberita, sambil menambah bahawa lebih 350 penyelamat terlibat, serta dron dan anjing polis.

Menurut Lismore City News, masih tidak jelas faktor yang menyebabkan keruntuhan dan Perdana Menteri Jordan  Bisher al-Khasawneh mengarahkan siasatan kerana pegawai menyalahkan keadaan bangunan itu rosak.

Pendakwa raya Amman, Hassan al-Abdallat, memberitahu Agensi Berita Petra bahawa tiga individu telah didakwa dengan empat pertuduhan menyebabkan kematian dan tujuh pertuduhan ‘mengakibatkan kemudaratan’.

Beliau berkata pejabatnya akan membentuk jawatankuasa teknikal untuk menentukan punca keruntuhan dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Media kerajaan Jordan sehubungan itu melaporkan bahawa suspek telah dikenal pasti sebagai salah seorang pemilik bangunan, kontraktor penyelenggaraan dan juruteknik penyelenggaraannya. – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -