Dakwah ke arah Penyatuan Ummah usaha mulia perlukan ketabahan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَمَنْ اَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّنْ دَعَآ اِلَى اللّٰهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَّقَالَ اِنَّنِيْ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri kepada Allah)”.

وَلَا تَسْتَوِى الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۗاِدْفَعْ بِالَّتِيْ هِيَ اَحْسَنُ فَاِذَا الَّذِيْ بَيْنَكَ وَبَيْنَهٗ عَدَاوَةٌ كَاَنَّهٗ وَلِيٌّ حَمِيْمٌ.

“Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan menjadi seperti teman yang setia”.

وَمَا يُلَقّٰىهَآ اِلَّا الَّذِيْنَ صَبَرُوْاۚ وَمَا يُلَقّٰىهَآ اِلَّا ذُوْ حَظٍّ عَظِيْمٍ.

“Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan ianya tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar”.

(Fussilat: 33-35)

Perutusan Nabi Muhammad S.A.W membawa risalah Allah S.W.T mengajak umat manusia bersatu padu. Membentuk perpaduan sesama Islam atas pegangan akidah yang satu dan membentuk kerjasama dan perpaduan dengan bukan-Islam atas nilai murni kemanusiaan sejagat demi kelangsungan hidup yang sejahtera kepada semua.

Usaha ke arah membina penyatuan dan persefahaman yang mengenepikan segala kepentingan peribadi dan puak merupakan suatu yang mencabar dan tidaklah semudah yang diucapkan.

Dalam konteks negara kita Malaysia, Penyatuan Ummah yang menyeluruh boleh direalisasikan apabila semua pihak meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati sebagai asas membina persefahaman. 

Intipati dan hak yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan itu seharusnya dihormati dan diperkasakan lagi agar tidak timbul salah faham dan kekeliruan dalam generasi masyarakat berbilang bangsa dan komuniti.

Justeru PAS Johor terus teguh menyokong dan menggerakkan usaha dakwah ke arah Penyatuan Ummah yang menyeluruh di bumi Malaysia ini yang dibina di atas prinsip cinta, kasih sayang, prihatin, ketelusan dan kejujuran. Pastinya generasi anak bangsa yang akan lahir nanti akan menghargai usaha murni ke arah penyatuan ummah ini.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -