RM90 juta: Tulang lama yang diselongkar semula

- Advertisement -

ISU RM90 juta ini hanya modal basi yang diperbaharui semula. Disolek secukupnya dengan harapan dapat dijadikan cerita baru untuk berdepan PRU15.

Pada 19 Julai 2018 ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Peguam Negara ialah Thommy Thomas, saya bangun bertanya di Dewan Rakyat, mencelah ucapan YB Damansara yang pada masa itu sedang menyenaraikan pihak-pihak yang mendapat wang dari 1MDB. 

Soalan saya, mana nama PAS? Jawapan beliau ialah saya tiada maklumat, sila tanya Menteri Kewangan (yang pada masa itu ialah YB Lim Guan Eng). (Rujuk https://www.facebook.com/ahmadfadhli80/photos/saya-mencelah-ucapan-yb-tony/1770784433002387/ )

Pada 2 April 2019, sekali lagi soalan saya di Dewan Rakyat berhubung isu RM90 juta ini dijawab oleh Timbalan Menteri Undang-undang, YB Hanipa Maidin. Jawapannya, masih dalam siasatan SPRM. Bahkan beliau berpesan bahawa jangan ada sebarang spekulasi. 

Belum lagi ucapan-ucapan perbahasan saya di Dewan Rakyat yang mendesak sejak tahun 2018 agar kerajaan dedahkan segera siapa penerima dana RM90 juta itu. Alih-alih yang keluar ialah kenyataan SPRM bahawa tiada wang 1MDB masuk ke akaun PAS (https://www.sinarharian.com.my/article/14762/berita/nasional/sprm-tiada-duit-rm90-juta-masuk-akaun-pas).

Semua kenyataan-kenyataan itu keluar ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Jika benar ada dana RM90 juta disalurkan kepada PAS, kenapa semasa pentadbiran PH isu tidak disiasat sehingga ke akar umbi? 

Yang ada ialah sekeping kertas berwarna hitam yang terpaksa ditilik berkali-kali oleh pembacanya di tengah malam kelam.

Isu penyelesaian saman luar mahkamah ialah hak kepada si penyaman. Dalam kes saman, jika pihak plaintif merasakan bahawa tiada keperluan untuk saman diteruskan berdasarkan kepada kos dan sebab-sebab kesihatan, ia boleh ditarik balik dan itu tidak membuktikan bahawa plaintif atau defendan bersalah.

Adapun yang berkuasa di dalam negara, kenapa tidak teruskan dengan pendakwaan sivil? 

Realitinya, isu RM90 juta ini tidak lebih daripada wayang opera lama yang ditayang semula. Dalam bahasa lain, ia tulang lama yang sudah lama terperap di tempat pembuangan sampah. Hanya haiwan tertentu sahaja yang menyelongkar sampah mencari tulang lama.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
etua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -