Kerajaan didesak naikkan harga lantai IPG RM3.50 sekilo

- Advertisement -

MELIHAT kepada perkembangan semasa harga getah yang turun sehingga RM2.30 sekilogram, perkara ini menimbulkan kebimbangan terhadap kepayahan hidup penoreh getah penoreh di Daerah Sik, Baling, Padang Terap dan daerah-daerah lain seluruh Malaysia yang rata-ratanya adalah masyarakat kampung. 

Tambahan pula keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan turut menekan para penoreh getah untuk menampung kehidupan seharian. 

Kehidupan penoreh getah yang terdiri daripada golongan usia emas kian terhimpit bahkan mendepani cabaran kemelut kewangan keluarga bagi rawatan perubatan. 

Justeru, saya menggesa agar kerajaan menaikkan harga lantai IPG ke RM3.50 sekilogram dengan kadar segera dan kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar- besaran perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah ini.

Pendapatan penoreh getah terjejas tambahan pula musim hujan yang berpanjangan dan menyebabkan aktiviti harian mencari nafkah tidak dapat diteruskan. 

Laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. 

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. 

Peningkatan taburan hujan turut disebabkan oleh fenomena La Nina yang dijangka berlangsung hingga tahun depan.

Ada segelintir penoreh mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan terlalu sedikit dengan harga semasa. 

Sebahagian mereka yang terhimpit terpaksa berjimat cermat membeli keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan barang dapur memandangkan kurang hasil pendapatan daripada sumber torehan tersebut. 

Keadaan seperti ini akan menjadi sangat genting sekiranya ramai penoreh getah berhijrah ke tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan memandangkan ia hanya akan memberi impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia kelak. 

Maka, bantuan kerajaan melalui pengaktifan IPG pada kadar tersebut dan kenaikan harga lantai getah merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi membantu penoreh getah meneruskan kelangsungan hidup dan seterusnya dapat merealisasikan pembangunan ekonomi getah sebagai salah satu kepentingan kepada Keluarga Malaysia.

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -