PM umum teruskan empat projek ECERDC

Ismail Sabri di samping Ahmad Yakob di Kota Bharu, Kelantan pada 9 September 2022.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Kerajaan mengumumkan persetujuan untuk  meneruskan empat projek di bawah negeri Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ECERDC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat projek berkenaan meliputi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3),  pembinaan jambatan bersempadan Thailand di Kelantan,  melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan-Segamat; dan Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Sungai Golok. 

- Advertisement -

Menurut beliau pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Gemuruh, Terengganu sehingga Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan laluan  sepanjang 147 kilometer (km).

“Pembinaan jambatan bersempadan Thailand di Kelantan pula ialah Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Jambatan Pengkalan Kubor-Takbai, manakala pelebaran jalan projek Lebuhraya Kuantan-Segamat membabitkan fasa 2  jajaran dari Runchang, ke Simpang 3 Keratong sejauh 51 kilometer,” ujarnya.

Katanya lagi, Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Sungai Golok bagi fasa dua juga sudah diluluskan dengan kos sebanyak RM897 juta.

“Kesemua empat projek ini diputuskan menerusi mesyuarat ECERDC di Kota Darulnaim hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa kira-ira 9 pagi disambut oleh Ahmad Yakob. – HARAKAHDAILY 9/9/2022

- Advertisement -