Ironi: Umno kata PAS kejar harta, Anwar kata PAS mahu jawatan

- Advertisement -

SESUNGGUHNYA dunia sudah terbalik. Nur Jazlan kata PAS yang ada hari ini cacamerba dan sibuk kejar harta dunia. 

Apakah Nur Jazlan mahu menutup keadaan Umno yang sedang cacamerba dan menutup kes-kes pendakwaan serta keputusan bersalah terhadap pimpinan Umno kerana penyelewengan dan rasuah?

Cacamerbanya Umno hari ini sehingga terpaksa dikumpulkan ahli Umno semata-mata untuk desak Perdana Menteri bubarkan Parlimen dan adakan PRU15. 

Bukankah Perdana Menteri itu merupakan pimpinan Umno? Nur Jazlan tak nampakkah betapa cacamerbanya Umno.

Tak malu ke Nur Jazlan kata PAS kejar harta dunia, sedangkan yang dijatuhkan hukuman bersalah kerana terlalu kejar harta dunia hingga sanggup ambil rasuah dan lakukan penyelewengan adalah daripada Umno. 

Umno yang terkejar-kejar harta duniawi, dicalit pula kepada PAS. Ironi sungguh. Jangan nak tarik PAS disamakan dengan Umno. Loya.

Begitu juga Anwar Ibrahim yang kata cita-cita PAS jadi King Maker kerana mahukan jawatan. PAS pula diperlihatkan seperti gilakan jawatan. 

Wahai Anwar, kenal tak anda dengan seorang sosok yang sejak tahun 1998 bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri. Sudah lebih 20 tahun dia dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM). 

Sebelum ini jadi calon PM ke-5, calon PM ke-6, calon PM ke-7 disailang Tun Mahathir. Tidak mengapa diangkat sebagai calon PM ke-8. Disailang lagi, PM ke-5 hingga PM ke-9 sekarang ini orang lain menjawatnya. 

Katanya PRU15, dia yang tak gila jawatan ini dicalonkan sebagai PM ke-10 pula. Anwar kenal tak siapa yang tak gila jawatan ini? 

Inilah ironinya dunia politik. Dia yang tergila-gilakan jawatan, dipalitkan PAS pula mahukan jawatan. Jangan diturunkan PAS setahap anda. Luga

Sedangkan dalam isu Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kanan, walaupun PAS selayaknya mendapat tempat sebagai Menteri Kanan. 

Tapi Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno nyatakan PAS tidak pernah timbulkan isu ini dan tidak pula menuntut jawatan Menteri Kanan. 

Hari ini kita lihat, Anwar dan Nur Jazlan (Umno) menyerang PAS. Apakah mereka berdua masih mengenangkan ‘hubungan sulit’ di bawah khemah Jajaran Baharu yang tidak berhasil?

Ironi, si gilakan harta dunia dan si gilakan jawatan mengatakan orang lain pula gilakan harta dunia dan kejar jawatan. Dunia tipu-tipu, begitulah. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -