Pendukung PAS perlu jadikan Harakah pilihan utama

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ts Ir Khairil Nizam Khiruddin
- Advertisement -

ALOR SETAR: Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS sebelum ini mengunjungi hormat Menteri Multimedia dan Komunikasi, Tan Sri Annuar Musa, bagi meningkatkan hubungan dua hala.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ts Ir Khairil Nizam Khiruddin, berkata pertemuan itu bagi merapatkan lagi hubungan dengan Kementerian Multimedia dan Komunikasi (K-KOMM) selepas diterajui Ahli Parlimen Ketereh sekarang.

- Advertisement -

Katanya, hasil perjumpaan itu membolehkan PAS mendapat gambaran bagi membolehkan berita berkaitan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah dapat disiarkan melalui media di bawah K-KOMM.

“Kementerian Multimedia dan Komunikasi, sedia memberi ruang kepada berita berkaitan kerajaan negeri yang diterajui di bawah PAS bagi mengetengahkan pelbagai pencapaian dan program pembangunan,” katanya ketika menjawab soalan perwakilan pada Muktamar PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Khairil Nizam berkata, melalui usaha itu diharap berita-berita berkaitan negeri berkenaan dapat disebarkan melalui medium di bawah RTM untuk dikongsi bersama rakyat.

Katanya, usaha juga dilakukan bagi mengadakan kerjasama dengan Media Prima yang mengendalikan stesen televisyen swasta.

Menurutnya juga pertemuan diadakan dengan Pengerusi Media Prima sebelum ini bagi membolehkan info berkaitan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS disebar melalui media di bawah kendalian Media Prima.

“Bagaimanapun agak sukar untuk menembusi saluran melalui TV3 memandangkan dikenakan kadar bayaran yang begitu tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap pendukung PAS menjadikan akhbar Harakah dan Harakahdaily pilihan utama sebagai saluran untuk mendapatkan berita berkaitan PAS dan kerajaan negeri.

Kata beliau, ahli dan pendukung PAS boleh melanggan e-Harakah bagi mendapatkan maklumat dengan kos yang lebih murah.

“Ahli-ahli PAS juga perlu menyokong Harakah edisi cetak biar pun berdepan dengan jualan yang agak menurun sekarang kerana berdepan dengan pelbagai kekangan, termasuk terpaksa menanggung banyak hutang daripada pengedar.

“Sehingga sekarang jumlah hutang yang tidak dibayar pengedar berjumlah kira-kira RM1.4 juta. Kita telah jumpa kawasan PAS yang belum menjelaskan hutang dengan menawarkan pakej bayaran hutang tertunggak yang menarik,” ujarnya.

Sedangkan kata beliau, Harakah terpaksa berdepan dengan kos yang tinggi termasuk cetakan dan pengangkutan untuk diedarkan kepada pembaca di seluruh negara.

Bagaimanapun menurutnya biarpun Harakah merosot jualan namun menerima dua anugerah baru-baru ini di atas pencapaiannya sebagai akhbar politik dan dakwah yang masih bertahan sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 3/9/22

- Advertisement -