Tepat tolak ‘Khemah Besar’ yang sakiti Islam dan tindas rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketegasan PAS menolak bersama pakatan ‘Khemah Besar’ adalah tepat dengan rekod 22 bulan pemerintahan tersebut yang menyebabkan gelisah dan resah dalam kalangan rakyat. 

Perwakilan PAS Pulau Pinang, Omar Hassan berkata, pakatan itu menekan, mengguris dan mencincang hati-hati umat Islam hingga berlaku himpunan besar membantah tindakan kerajaan tersebut. 

“Bukan hanya mereka menyerang susuk tubuh pimpinan-pimpinan kita tetapi mereka juga menyerang Nabi Muhammad SAW utusan Allah Nabi membawa risalah akhir zaman yang beri kepercayaan dan ikutan umat Islam.  

“Inilah kebiadaban mereka ini sehingga ramai di kalangan kita turun membuat bantah demi bantahan. Tetapi pihak pemerintah 22 bulan seolah-olah buta matanya dan pekak telinganya. Mereka tidak mengambil kisah, apa yang sedang berlaku. 

“Tetapi di dalam diam-diam, mereka menyusun satu perencanaan yang begitu jahat mengusir umat Islam khususnya bangsa Melayu tadi dari tanah air, kampung halaman, peninggalan datuk nenek moyang mereka.  

“Dengan secara kononnya di atas sikap pembangunan,” ujar beliau membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, di sini sebentar tadi. 

Menurutnya, rakyat Pulau Pinang dari pelbagai golongan baik yang Islam dan bukan-Islam begitu mengharap untuk menyelesaikan masalah mereka di mana ada tiada rumah dan menghuni bawah jambatan. 

Juga katanya, di kaki lima KOMTAR pusat pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang kerana tidak ada tempat berteduh sedangkan berkali-kali memohon rumah mampu milik daripada pemerintah. 

Bidasnya juga, dengan kononnya satu perubahan demi ekonomi dan kesejahteraan rakyat cuba diadakan, mereka menerokai kampung-kampung halaman membina bangunan yang begitu mewah kononnya untuk kepentingan rakyat.  

“Harganya beratus-ratus ribu yang tidak mampu dibeli oleh rakyat marhaen yang memerlukannya. Akhirnya setelah siap unit rumah-rumah itu kita dapat melihat poster ditempel dipagar-pagar di pintu-pintu rumah?  

“Ianya untuk dijual. Untuk disewa dan untuk dijadikan homestay tetapi kerajaan 22 bulan yang sedang memerintah negeri Pulau Pinang ini tidak peka dan tidak mengambil tahu hal masyarakat dan rakyat marhaen ini.  

“Mereka lebih membela pemaju. Mereka menafikan kehendak rakyat yang menyokong yang mengundi mereka dalam pilihan raya yang lalu bukan setakat itu sahaja. Dengan rakusnya mereka cuba membina tiga puluh puaka,” ujarnya. 

Kata beliau, apabila siap pulau itu nanti, beratus ribu penduduk luar akan berhijrah dan nilai tanah akan naik mendadak hingga taraf hidup dan perbelanjaan meningkat dan meninggalkan negeri itu. 

Menghadapi pelbagai cabaran di negeri itu menurutnya, PAS dan Umno setuju menggerakkan agenda penyatuan ummah dan memastikan PRU15 disertai secara satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -