Muhyiddin harap Muktamar PAS jadi medan perkuat PN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Muktamar Tahunan PAS ke-68 bukan sahaja menjadi medan memperkukuhkan parti itu tetapi juga memperkuatkan PN.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan muktamar tahunan kali ini.

Menurutnya, muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

- Advertisement -

“Besarlah harapan saya agar muktamar ini bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan parti PAS tetapi juga memperkuatkan PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, petang ini.

Beliau yang juga Presiden Bersatu mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.

“Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan PAS bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya,” katanya yang turut hadir pada muktamar yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut itu.

Katanya, sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan PAS dan para perwakilan demi kebaikan bersama. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -