Pastikan kesilapan pengundi memilih PH tidak berulang

Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ALOR SETAR: Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan, melihat Muktamar Tahunan PAS Ke-68 hari ini sebagai mesyuarat yang sangat penting sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, muktamar kali ini memperlihatkan agar muafakat parti politik perlu diperkasakan demi mewujudkan Malaysia yang sejahtera.

- Advertisement -

Katanya, parti politik perlu bersatu padu bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang agar kesilapan pengundi sebelum ini yang memilih Pakatan Harapan (PH) tidak berulang lagi.

“Rakyat sudah merasai keperitan berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan. Jadi kita tidak mahu lagi perkara tersebut berulang kembali,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini, hari ini.

Shahir berkata, pemilihan calon yang bakal ditonjolkan dalam PRU15 juga perlu meyakinkan pengundi.

“Pemilihan calon yang ditawarkan kepada rakyat mestilah calon yang berintegriti, bebas rasuah serta mempunyai iman dan takwa bagi yang beragama Islam.

“Calon bukan Islam pula mestilah yang sederhana bagi memastikan kita dapat mewujudkan Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Beliau juga mahu supaya undi anak muda menjadi perhatian utama kerana mereka merupakan antara kelompok terbesar pengundi dalam PRU15.

“Penglibatan anak muda penting bagi menentukan hala tuju pentadbiran negara masa depan. Kita perlu pastikan undi anak muda dapat dikuasai dan siapa juga calon yang ditawarkan, kita bersedia bekerjasama bagi memastikan kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/22

- Advertisement -