PAS Selangor ada potensi jika satu lawan satu

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

ALOR SETAR:
PAS Selangor berpotensi besar untuk mengambil alih negeri Selangor dengan syarat calon-calon Pakatan Harapan (PH) mesti ditentang secara satu lawan satu.

Perwakilan Negeri Selangor, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, perpecahan politik dan kegagalan bermuafakat hanya akan mengulangi kesilapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri itu dan kesannya amat buruk buat masa depan ummah.

- Advertisement -

Menurut beliau, pada PRU14 secara purata calon-calon PAS di 39 kawasan majoriti Melayu telah memperolehi 20.3 peratus daripada jumlah undi yang keluar mengundi.

Katanya, di DUN Selat Klang calon PAS memperolehi 34.52 peratus undi, di DUN Sungai Burong (31.31 peratus), di DUN Sabak (30.89 peratus).

“Ini semua merupakan para pengundi hardcore atau pengundi tegar PAS di Selangor.

“Ini bermakna mana-mana pihak yang bercita-cita menawan Selangor dan menumbangkan PH mereka perlu dan wajib berkerjasama dengan PAS, jika tidak berpecahlah lagi undi Melayu dan PH pasti berkuasa lima tahun lagi di Selangor,” katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PAS Selangor menyeru agar semua pihak yang berkepentingan insaf bahawa musuh utama PAS di negeri itu malah seluruh negara adalah PH.

“Ayuh kita hadapi musuh sebenar kita sehingga terus menjulang dan tegak panji-panji perjuangan Islam yang kita galas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -