Asyraf Wajdi tak perlu celaru, PH jangan lupa silap sendiri

- Advertisement -

DR ASYRAF WAJDI nampaknya cepat tampil untuk cuba meredakan kemarahan rakyat terhadap kenyataan Dato’ Sri Azalina Othman Said yang mengatakan Perdana Menteri sepatutnya memilih Peguam Negara dari kalangan ‘orang dia’.

Tetapi cara yang beliau guna adalah bukan dengan menjawab isu, sebaliknya dengan mengalih fokus perbincangan kepada campur tangan politik oleh Pakatan Harapan (PH) di zaman mereka mentadbir.

Pada masa yang sama, Asyraf juga meminta Pejabat Peguam Negara untuk beri penjelasan terhadap surat meminta dipercepat perbicaraan kes Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Masalahnya, kita melihat berlaku kecelaruan dalam pemikiran Asyraf.

Jika benar beliau mahukan kebebasan dalam Sistem Kehakiman dan Institusi Perundangan Negara, sepatutnya beliau fokus terhadap kenyataan Azalina itu dahulu. Bukannya guna taktik lari dari isu. 

Soalannya mudah, kenyataan Azalina itu patut atau tidak? Asyraf kena berikan pendirian yang jelas dalam bab ini. 

Ini bukan kali pertama Asyraf dilihat gagal faham konteks sebenar. Pada 16 Ogos lepas, beliau juga dilihat gagal faham konteks kenyataan Ketua Pemuda PAS yang mengajak pengundi PH di Pahang untuk mengundi PAS pada PRU depan. Asyraf alih isu dan mengatakan itu petanda PAS mahu kembali bersama PKR dan DAP. Lain yang disebut, lain yang beliau faham. 

Ataupun Asyraf Wajdi memang ada masalah dalam memahami konteks sesuatu perkara? 

PH jangan lupa diri

Manakala bagi PH pula, jangan hanya pandai mengkritik kenyataan Azalina. PH perlu sedar bahawa pengguguran kes mahkamah Lim Guan Eng yang berlaku pada zaman pentadbiran PH telahpun memberikan calar yang tidak dapat disembunyikan. 

Rakyat telah melihat perangai PH yang bersifat sentiasa inginkan keadilan semasa menjadi pembangkang, tetapi apabila berkuasa lain pula ceritanya. 

Malang kepada PH, lantaran kesilapan semasa diberi peluang mentadbir, kini nak mengkritik pun dilihat tiada kredibiliti. Setiap kali PH buka mulut, rakyat akan menjawab, ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. 

PAS yang kekal kredibiliti

Dalam kecelaruan ini, PAS dilihat menonjol kerana kekal berprinsip sama ada semasa menjadi pembangkang, dan juga sewaktu menjadi kerajaan. 

Ini dibuktikan melalui hakikat bahawa sebaik sahaja diberikan peluang untuk menjadi Kerajaan Pusat, Menteri dari PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hasan terus mengambil langkah yang praktikal untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya demi menjamin kebebasan pendakwaan. 

Begitulah PAS, dikenali sebagai parti yang paling terkehadapan dalam menegakkan keadilan dan dalam menggalas amanah diberikan, serta integriti. Ia meletakkan PAS sebagai parti unggul untuk dipilih dalam menghadapi PRU yang akan datang.

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -