Kelantan dimajukan tanpa melucut hak rakyat dan negeri

- Advertisement -

KITA sengaja memperlahan pembangunan adalah ayat yang begitu laku yang sekian lama menjadi serangan ke atas batang tubuh Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Kenyataan beliau selalu disalah tafsir oleh ramai pihak yang hanya mampu mendengar sekilas dan berfikir sepintas secara singkat lagi dangkal. Begitulah perangai kebanyakan orang, mahu buat kesimpulan yang cepat dan tak matang, sebelum memahami secara mendalam.

Berkaitan pembangunan lambat, Dato’ Nik Amar menghuraikan bahawa kita takkan gadai Tanah Rizab Melayu semata-mata nak buat pembangunan yang melucutkan hak penduduk tempatan dan menyebabkan hak milik berpindah tangan orang luar.

Beliau juga menjelaskan bahawa, pernah pada suatu masa terdapat pemaju meletakkan syarat untuk mereka melabur adalah melonggarkan syarat berkaitan Tanah Rizab Melayu. 

Tuntutan sebegini adalah tidak dapat dikompromi oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang istiqamah dengan konsep Membangun Bersama Islam dan pastinya memelihara hak penduduk asal dalam kalangan Melayu Islam menjadi keutamaan. 

Boleh lihat negeri yang dikatakan maju mengikut acuan semasa atau acuan materialistik semata-mata, berapa banyak lagi Tanah Rizab Melayu yang tinggal. Ada negeri yang Tanah Rizab Melayu tak ada langsung tapi menjadi kebanggaan kononnya negara maju hasil KDNK tinggi. Walhal gelandangan bersepah di kaki bangunan pentadbiran yang menjadi kebanggaan.

Apa makna pembangunan hebat kalau akhirnya penduduk asal iaitu Melayu terpinggir. Itukah kemajuan yang dimahukan oleh pengkritik yang tak fikir secara mendalam?

Melambatkan pembangunan sebenarnya bermaksud memperlahankan tempo pembangunan supaya kemaslahatan masyarakat secara sejahtera dapat dijaga dan diimbangi dengan baik. 

Pembangunan yang terlalu cepat bakal menimbulkan gejala-gejala sosial masyarakat hingga akhirnya tetap memberi beban pada pemerintah. Dengan tidak semena-mena kita mula sedar jurang kaya miskin semakin besar.

Miskin bandar semakin kronik apabila kos hidup tinggi dan segala-galanya perlukan wang. Masyarakat menjadi lapar melarat kerana tiada wang dan bagi negeri yang tempo pembangunan tak terlalu drastik, masyarakatnya mungkin tak banyak pitis tetapi tidak sampai tahap kelaparan dan menghimpun gelandangan yang tak pernah surut. 

Banyak perkara berkaitan kesan tempo pembangunan ini dapat dilihat melalui pemerhatian yang mendalam di lapangan. Jika hanya menanti maklumat disuap berdasarkan naratif umum selapis, maka ramai pihak akan terus mengeji tanpa fikir. 

Amat malang apabila yang mengeji tanpa fikir itu dalam kalangan pendukung parti yang dipimpin oleh beliau sebagai Naib Presiden PAS. Sosok ini akhirnya terus bersabar kerana saya yakin beliau percaya bahawa;

“Kebenaran tetap akan menjadi kebenaran. Kebohongan akan habis masanya dipercaya”

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -