Isu harga roti: Kerajaan perlu lebih tegas

Pengguna tidak boleh mengelak daripada menidakkan kepentingan roti kerana ia merupakan suatu keperluan dalam rutin kehidupan mereka. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menetapkan satu dasar yang lebih tegas dengan mengawal secara langsung rantaian proses pengeluaran dan pembuatan roti daripada bahan-bahan asasnya lagi seperti gandum, telur atau yis; dan tidak hanya dipantau ketika proses jual beli sahaja.

Selain itu, asas pengurusan rantaian bekalan perlu dikawal dari aspek pengeluaran dan harganya, sebelum harga sesuatu barangan itu boleh ditetapkan, dikawal dan tidak membebankan pengguna.

- Advertisement -

Ini kerana dalam hal sedemikian, kerajaan bertindak sebagai orang tengah agar tidak timbul isu manipulasi barangan termasuk dari segi kenaikan harga.

Kerajaan juga perlu mengukuhkan lagi jaminan bekalan makanan tanpa perlu mengharapkan  import kerana ia jelas satu risiko yang tidak boleh menjamin bekalan untuk rakyat negara ini.

Itu pandangan daripada Penganalisis Sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), Ahmad Fauzi Mustafa ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan 53 jenis produk roti keluaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. bermula hari ini, 1 September dikatakan angkara kenaikan bahan-bahan mentah dalam pembuatan roti.

Ahmad Fauzi

Melalui kenyataan media sebelum ini, dalam beberapa bulan ini, Gardenia Kuala Lumpur khususnya dikatakan telah terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi (sebanyak 25 peratus), serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus), tepung gandum,  gluten, susu skim dan bahan-bahan pembungkusan roti.

Seperti perniagaan lain juga, Gardenia dalam kenyataannya itu memberitahu bahawa ia berhadapan dengan cabaran pasca Covid-19 seperti pematuhan keperluan keselamatan kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelaksanaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan serta banjir yang melanda kawasan Shah Alam pada Disember 2021 juga turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia KL.

Justeru, bermula hari ini, roti Gardenia Original Classic 400 gram dijual pada RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen) dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen) setiap satu.

Sementara harga bagi krim gulung perasa vanila, gula mentega dan karamel masin, dinaikkan sebanyak 10 sen menjadi RM1.10 sen setiap satu, manakala siri roti Toast Em juga meningkat 50 sen kepada RM5.50 setiap satu.  

Sejauh manakah rakyat selaku pengguna terpaksa berterusan berdepan dengan isu harga barangan keperluan seperti roti yang naik dari semasa ke semasa? (FOTO HIASAN)

Menurut Ahmad Fauzi lagi, kerajaan sebelum ini menerusi beberapa kementerian berkaitan bekalan makanan, harga dan barangan telah melaksanakan pelbagai pendekatan terbaik, namun usaha memperkukuhkan agenda besar food security perlu dilaksanakan dengan skala yang besar.

Pihak kerajaan juga, ujar beliau, perlu menggalakkan rakyat untuk terlibat sama dengan agenda besar food security sebagai satu khidmat nasional. 

“Dengan itu, pihak kerajaan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu, perniagaan baharu, inovasi baharu serta kekayaan baharu untuk rakyat sendiri serta pasaran domestik negara yang lebih terjamin,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat (oleh Gardernia) melibatkan sejumlah kenaikan (harga dalam julat) yang agak besar (bagi sesetengah produknya yang dinaikkan harga) serta memberi kesan jangka panjang.

“Kenaikan demi kenaikan harga barangan jelas menunjukkan ekonomi negara masih bertungkus-lumus untuk kembali pulih walaupun sudah banyak kaedah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan rakyat,” tegas beliau.

Rakyat berasa ditindas

Sehubungan itu Ahmad Fauzi berkata, perkara atau senario sebegini masih dilihat berterusan dan sangat menggusarkan rakyat.

“Apatah lagi rakyat sendiri bertungkus-lumus untuk memastikan ekonomi mereka terus stabil dan konsisten ketika ini.

“Walau bagaimanapun, sebahagian besar rakyat masih mendepani masalah ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19 yang begitu lama menyebabkan ada sebahagian rakyat di negara ini yang terjejas sumber pendapatan bulanan mereka,” ujarnya.

Satu dasar yang lebih tegas perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengawal secara langsung rantaian proses pengeluaran dan pembuatan roti daripada bahan-bahan asasnya seperti gandum dan telur. (FOTO HIASAN)

Beliau juga turut mempersoalkan sejauh manakah rakyat selaku pengguna terpaksa berterusan terpaksa berdepan dengan isu harga barangan naik dari semasa ke semasa?

Ahmad Fauzi berkata, pada masa ini, rakyat berasa ditindas dan dibelenggu walaupun mempunyai kuasa pilihan untuk membeli sesuatu barangan itu.

“Namun begitu, ada kalanya orang ramai tidak boleh mengelak kerana keperluan bekalan seperti roti Gardenia adalah antara produk makanan yang laris dan menjadi pilihan ramai pengguna,” ujarnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan adakah pengguna terpaksa ikat perut atau beralih kepada jenama roti lain sebagai pilihan terbaik sedangkan pengguna juga ada hak untuk mendapatkan barangan keperluan makanan yang terbaik, berkualiti dan halal serta bersih dari segi jaminannya?

Ahmad Fauzi turut memberitahu bahawa walaupun pada mata kasar julat kenaikannya dilihat tidak begitu tinggi  seperti Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3 ataupun Gardenia Waffles (daripada RM1.40 kepada RM1.50), dan Roti Krim Gardenia (daripada RM1 kepada RM1.10), namun kenaikan harga itu sebenarnya telah memberi kesan terhadap penawaran barangan itu kelak.

“Mungkin selepas ini ramai yang bakal memboikot atau menggantikan produk keluaran syarikat lain sebagai gantian kepada produk roti Gardenia,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -