Kelantan perindahkan landskap Jambatan Guillemard

Jambatan Guillemard jadi tumpuan pelancong bergambar
- Advertisement -

TANAH MERAH: Jambatan Guillemard yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini bakal berubah wajah melalui projek pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Kawasan seluas kira-kira 4.8 hektar sekitar jambatan itu dibangunkan dengan landskap menarik. Kerja-kerja awal projek ini bermula 8 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya, Oktober depan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, berkata projek di kawasan Jambatan Guillemard, iaitu jambatan kereta api terpanjang dan kedua tertua di Malaysia, dilaksanakan oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN).

Katanya, pembinaan landskap menarik di lokasi itu adalah antara usaha memulihara monumen bersejarah dan mempunyai panorama yang menarik.

“Jambatan tersebut menjadi saksi banyak peristiwa bersejarah yang berlaku di Kelantan, terutama kemaraan tentera Jepun, bah merah pada 1926 dan 1967 serta bah kuning pada 2014,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN).

Difahamkan projek landskap terbabit meliputi penyediaan medan tinjau, galeri sejarah terbuka dan taman riadah.

Jambatan kereta api terpanjang di Malaysia, Jambatan Guillemard di Kampung Kusial Baru menjadi penghubung antara jajahan Machang dan Tanah Merah.

Gambaran kawasan sekitar Jambatan Guillemard selepas projek landskap siap
Kerja awal projek Landskap Persekitaran Kehidupan dimulakan sejak 8 Ogos lalu

Jambatan itu dibina penjajah Inggeris pada 1920 ketika mentadbir Tanah Melayu. Bagaimanapun ketika Perang Dunia Ke-2, sebahagian struktur jambatan besi itu rosak akibat dibom tentera Jepun pada 1941.

Diberi nama Guillemard sempena nama Gabenor British pada masa itu, Sir Laurence Guillemard, jambatan unik tersebut dirasmikan oleh Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 1925.

Jambatan itu menghubungkan Kampung Paloh Rawa, Machang dengan Kusial, Tanah Merah. Sebelum ini, pernah dibenarkan kenderaan lain melalui jambatan itu.

Bagaimanapun, selepas jambatan baharu dibina tidak jauh daripada Jambatan Guillemard, jambatan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tersebut tidak dibenarkan lagi dilalui kenderaan lain.

Jambatan bersejarah tersebut bakal mencecah usia 100 tahun pada 2025.

Malah sehingga sekarang, jambatan itu menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar kenangan. Malah ada pengantin baharu memilih lokasi berkenaan bagi aktiviti ‘out door’.

- Advertisement -