Kemenangan Islam sangat dirindukan dunia masa kini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan Islam disedari membawa makna yang sangat besar kepada dunia yang bukan sahaja ia dirindui oleh umat Islam, tetapi juga masyarakat bukan-Islam.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dunia hari ini amat mengharapkan Islam setelah ribuan tahun berada dalam sistem ekonomi, sosial dan perundangan yang tidak adil.

Menurutnya, sistem dunia kini telah berlaku tidak adil kepada kebanyakan orang dan alam hingga menuntut satu reformasi setelah menyedari hakikat banyak perkara yang ditipu dari sistem dan sejarah ditulis penjajah.

“Oleh kerana yang menang itu bukan Islam, pertembungan itu yang dimenangi oleh bukan Islam. Mereka yang menulis sejarah. Mat Kilau ditulis sebagai penjenayah, penentang kerajaan, pengkhianat. 

“Tok Bahaman, Datuk Maharajalela, Dol Said, Datuk Naning. Tok Janggut di Kelantan, Abdul Rahman Limbong di Terengganu. Semua tokoh-tokoh ini dilabel oleh Inggeris sebagai penjajah, kenapa? Mereka yang tulis sejarah.

“Bila keluar filem Mat Kilau, alhamdulillah kita baru buka mata, baru sedar penipuan sejarah yang ditulis oleh mereka yang menang. Kita perlu betulkan semula. Namun tidak cukup untuk merasai keadilan kepada Islam. 

“Demikian juga budaya budaya liar, Oktoberfest bukan budaya kita, bukan budaya Melayu, bukan budaya Cina, bukan budaya India, bukan budaya Timur. Budaya yang diimport daripada Barat yang mabuk. Tunggang-langgang iklan kemungkaran, iklan yang rosak.

“Kenapa budaya luar kita bawa masuk ke negara kita? Kita bertembung kerana budaya orang lain, Bon Odori, bukan budaya kita. Tak ada kena mengena dengan Melayu dengan Cina dengan India. Tak ada kena mengena dengan Iban, Kadazan, Murut. Tak ada kena mengena.

“Kita bawa budaya luar. Walaupun tidak salah budaya ini tetapi Islam menggariskan batas dalam perkara yang melibatkan soal akidah, kita tak boleh kompromi. Bukan tak nak kompromi, tak boleh kompromi. Islam agama yang paling toleransi di dunia,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berucap demikian ketika melancarkan Himpunan 5K PAS Negeri Melaka di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Melaka, Semabok semalam.

Jelasnya, pemerintahan Islam telah membuktikan tidak pernah memaksa orang bukan-Islam untuk menganut Islam serta tidak meruntuhkan mana-mana agama di dunia di mana keadilan itu juga dapat dilihat di Kelantan.

Malah keadilan Islam terangnya, tidak pernah berteraskan bangsa kerana perbezaan keturunan dan warna kulit dijadikan Allah S.W.T adalah untuk saling mengenali dan bukannya untuk kemuliaan.

Pra-syarat kemenangan

Pun demikian peringat beliau, kemenangan Islam tidak mudah tetapi ia hanya dapat dicapai apabila berlakunya pertolongan Allah kerana itulah keberadaan dalam perjuangan Islam dituntut oleh syarak dan difardukan oleh Allah S.W.T.

Menurut beliau, ianya sebahagian dari antara tuntutan dalam kalimah syahadah yang diucapkan, namun kalimah itulah menyebabkan kebencian oleh para pemimpin dan pemerintah di dunia.

“Ini membuktikan bahawa kalimah syahadah bukan sahaja tidak disenangi, bahkan dia bukan jalan yang mudah dan laluan yang mudah walaupun Allah Taala Maha Berkuasa memenangkan Islam, namun Allah Taala meletakkan syarat

“(Yakni) menentukan jalan-jalan-Nya, wasilah-wasilah yang mesti dia lalui, mehnah dan kesabaran yang sangat kuat yang perlu ada pendukung perjuangan Islam. Semua jalan-jalan kemenangan tidak akan dapat dicapai tanpa pertolongan Allah,” katanya.

Sehubungan itu nasihatnya, para pejuang mesti memiliki hubungan yang rapat dengan Allah Taala dan mestilah berusaha melengkapkan sifat-sifat hingga turun datangnya pertolongan Allah S.W.T.

Terangnya, Allah S.W.T mempunyai jadual dan aturan-Nya, sama ada kemenangan yang ditangguh atau dilewatkan, atau kemenangan dan kekalahan silih berganti, tetapi para pejuang wajib berusaha.

“Semua itu proses mematangkan pejuang-pejuang PAS dalam perjuangan Islam. Kita sebagai parti antara yang awal dalam sejarah negara. Kita menuntut bukan sahaja kemerdekaan, sebuah negara, kita menuntut supaya bumi Allah ini mesti ditadbir dengan peraturan yang diturun oleh Allah. 

“Maka kerana itu perjuangan tidak selesai dengan hanya mencapai kemerdekaan. Perjuangan tidak selesai dengan kita menang pilihan raya, perjuangan tidak selesai bila kita hanya berkuasa di peringkat negeri, tapi kita mesti memastikan mengisi kemenangan tersebut supaya rahmat Allah Taala turun dalam negara. 

“Keberkatan dapat pada rakyatnya, keadilan dirasai oleh semua bangsa dan kaum sehingga mereka merasakan bahawa lebih baik berada di bawah pentadbiran Islam berbanding agama mereka sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -