Dulu PAS berceramah dalam gelap, kini…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dalam perjuangannya pernah berceramah dalam gelap dengan hanya memakai lampu berkuasa bateri di Kelantan, hingga tiada yang percaya parti ini boleh sampai ke tahap seperti pada hari ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, namun atas keyakinan kepada Allah S.W.T dan terus berjuang, akhirnya PAS dikurniakan kemenangan demi kemenangan di negara ini.

“Oleh itu seluruh ahli PAS hendaklah kita terus beristiqamah dan bekerja dengan bersungguh-sungguh selepas daripada ini sehingga kita memasuki pilihan raya dan kita diberikan oleh Allah S.W.T pertolongan. 

“Bagi mencapai kemenangan Islam di negeri Melaka ini dan di negara kita insya-Allahu Taala,” ujarnya pada Pelancaran 5K PAS Melaka di Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok, semalam.

Tegasnya, Allah S.W.T mengisytiharkan kepada seluruh manusia bahawa tidak ada kejayaan atau kemenangan yang hakiki, melainkan apabila ianya berlandaskan dan berpandukan kepada Islam.

Kerana itulah PAS katanya, berpegang bahawa di dalam pengurusan dan pentadbiran negara tidak ada sebarang pedoman terbaik melainkan kembali kepada pedoman Islam dan sebab itu PAS menyertai pilihan raya. 

Jelasnya, PAS berbeza dengan fahaman penjajah yang menjajah Dunia Islam termasuk Tanah Melayu ini dahulu di mana mereka meletakkan agama dengan makna semata-mata mengatur adat dan ibadat hubungan antara manusia dengan tuhan. 

“Tidak melibatkan hubungan antara sesama manusia, tidak melibatkan persoalan politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan segala aspek kehidupan yang lain. Justeru itu, bila mereka menjajah negara umat Islam, mereka membawa masuk fahaman Sekular sebagai dasar politik dan pemerintahan.

“Para ulamak dan golongan yang mencintai agama Islam mengambil suatu pendirian yang tegas untuk membetulkan penyelewengan penjajah itu dan mengembalikan landasan politik negara kepada Islam sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T,” ujarnya penuh semangat.

Menurut beliau perjuangan PAS yang panjang telah diberikan kemenangan demi kemenangan oleh Allah S.W.T dan berada di dalam kerajaan pada hari ini di mana kepimpinan PAS terus bekerja bersungguh-sungguh dengan momentum luar biasa.

Jelasnya, dengan pelbagai jawatan dan posisi, mereka tetap konsisten menghayati Islam dan memperkenalkan Islam secara hal serta praktikal dalam menjalankan pentadbiran berteras Islam.

“Dan alhamdulillah kepimpinan kita telah melangkah lebih jauh bagi menyatukan kuasa-kuasa politik umat Islam agar umat Islam mempunyai kekuatan yang lebih besar menjadi dominan suara mereka di dalam Parlimen.

“Sehingga ruang untuk membawa perubahan kepada Islam itu menjadi lebih besar dan menjadi suatu hal yang dapat untuk dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -