STPM 2021: Pencapaian Kelantan atasi peringkat nasional

Oleh AIN MANAF

KOTA BHART:
Seramai 57 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding 68 calon tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Zin Halim berkata, sebanyak 45 daripada 60 sekolah kerajaan berjaya mencapai kelulusan 100 peratus STPM tahun 2021.

Katanya seramai 38 calon memperolehi semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki dan PNGK mereka 4.0.

Selain itu, bilangan calon yang mendapat PNGK 3.0 ke atas seramai 1,671 orang berbanding tahun 2020 seramai 1,893 calon.

Advertisement

“Daripada jumlah tersebut seramai 38 calon memperolehi semua A, manakala 19 orang lagi memperolehi 4A dengan PNGK juga 4.0 daripada empat mata pelajaran yang diduduki,” katanya pada sidang media di JPN, Bandar Baru Tunjung, dekat sini hari ini.

Menurutnya purata pencapaian PNGK keseluruhan, sekolah kerajaan di Kelantan mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 2.92 peratus berbanding 2.79 peratus.

Katanya, pencapaian STPM di Kelantan mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.13 mata.

Manakala, peratus lulus penuh keseluruhan calon di negeri itu ialah 99.36 peratus atau 3,393 calon berbanding peringkat nasional iaitu 98.55 peratus (40,335 calon).

“Ini juga menunjukkan pencapaian sekolah di Kelantan mengatasi peringkat nasional iaitu sebanyak 0.81 peratus,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sekolah paling cemerlang di Kelantan STPM 2021 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas (GPS 3.51), SMK Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas (3.27) dan SMK Pengkalan Chepa (3.27). – HARAKAHDAILY 18/8/2022