Kelantan model pentadbiran unggul, berintegriti

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

اِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلٰوةَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكٰوةَ وَهُمْ رَاكِعُوْنَ.

“Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, serta tunduk (patuh kepada Allah)”.

(al-Maa’idah: 55)

Ayat ini menjelaskan kepada kita ciri kepimpinan yang disarankan oleh Allah S.W.T. Ciri kepimpinan tersebut adalah beriman, mendirikan solat (dengan ihsan), menunaikan zakat (tanggungjawab harta) dan tunduk patuh kepada perintah Allah S.W.T (takwa).

Kelantan di bawah pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak lebih 30 tahun yang lalu (PRU 1990) telah membuktikan pentadbiran penuh integriti. Membangun Bersama Islam yang menjadi moto Kerajaan Negeri Kelantan membawa kepada sifar rasuah dalam tempoh lebih 3 dekad. Satu rekod yang gemilang.

Walaupun dianaktirikan ekoran perbezaan politik dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini dan dikategorikan negeri miskin, namun Kelantan tetap utuh dengan sikap telus, integriti dan kesederhanaan. Keutamaan diberikan kepada agenda kebajikan rakyat dalam ruang lingkup kemampuan kerajaan negeri. Ini dipermudahkan lagi dengan kesetiaan rakyat Kelantan dan keteguhan hati mereka berpegang dengan agama Islam.

Kelantan negeri paling banyak punyai tanah rezab Melayu berbanding negeri-negeri lain.

Kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa penuh dengan keharmonian dan semangat setia kawan. Hak masyarakat majmuk sentiasa terpelihara bahkan semua bangsa di Kelantan fasih bercakap dialek (loghat) Kelantan. Begitulah akrab dan harmoninya masyarakat Kelantan.

Hak orang bukan-Islam dijaga dan terjamin. Rumah ibadat mereka terpelihara bahkan patung berhala besar dibina di Kelantan sebagai menghormati hak rakyat bukan-Islam. Toleransi agama dalam batas dan ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam.

Lesen penjualan minuman keras dan daging khinzir untuk masyarakat bukan-Islam mengikut peraturan dan syarat yang tidak bercanggah dengan Syariat Islam adalah dibenarkan.

Penutupan premis perjudian, pusat maksiat dan hiburan yang melaghakan (melalaikan) menunjukkan Kerajaan Kelantan prihatin dan memulakan langkah Islamisasi dalam pentadbiran.

Pelbagai budaya dan adat wujud dan subur di Kelantan. Pembinaan Masjid Cina atau Masjid Beijing di Rantau Panjang yang juga dimasyhurkan dengan nama Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra membuktikan kepelbagaian budaya di Kelantan.

Kerajaan Kelantan juga memulakan langkah pemberian cuti sehingga 60 hari kepada kakitangan kerajaan wanita yang bersalin sebelum ianya dilaksanakan di peringkat Persekutuan. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan yang berpandukan kepada ajaran Islam.

Kerajaan Negeri Kelantan dianugerahkan Sijil Penarafan 5 Bintang dalam Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 dengan memperolehi markah 98.61. Sijil Penarafan 5 Bintang dalam Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016.

Kelantan terus Membangun Bersama Islam. Perbezaan ketara boleh dilihat secara perbandingan sebelum tahun 90-an dan selepasnya.

Terbaharu Kelantan menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang berjaya memperolehi Pensijilan MS ISO 9001:2015 yang membuktikan bahawa pengurusan hutan Kelantan mengikut setiap garis panduan (SOP) serta ketetapan yang dibuat oleh badan pensijilan.

Kini Kelantan terus menjadi model pemerintahan Islam alaf baharu yang menjadi inspirasi kepada pencinta agama dari dalam dan luar negara. Setelah 30 tahun, jejak Kelantan kini diikuti oleh Terengganu dan Kedah. 

Justeru tidak peliklah Kelantan sentiasa dicemburui oleh golongan yang tidak menyukai proses Islamisasi dan berkebajikan yang diperkenalkan. Semoga suatu hari nanti ianya akan dapat diterjemahkan di dalam pentadbiran negara kita secara menyeluruh.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 18/8/2022